Politeknik kenduri gol

Politeknik kenduri gol

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru anjuran Sekolah Sukan 2015 membuka tirai kelmarin dengan pertembungan Sekolah Sukan Bawah 15 Tahun (B-15) dan Politeknik Brunei.

Melihat kepada perbezaan umur dan fizikal antara kedua-dua pasukan maka tidak hairanlah Politeknik Brunei mendominasi perlawanan dari awal hingga akhir dengan empat gol pada setiap separuh masa untuk menang 8-0.

Gol pertama Politeknik hanya hadir pada minit ke-10 menerusi jaringan Mohd Abi Syarillizam bin Sabtu.

Gol kedua pula dijaringkan oleh Mohammad Ikmal Hakim bin Haji Mohd Yunos pada minit ke-23.

Tiga minit kemudian giliran Zunurazmi bin Haji Mohammad pula mencatatkan namanya dalam senarai penjaring, disusuli ledakan jaringan Ahmad ‘Afif As’ad bin Haji Ali pada minit ke-31 iaitu empat minit sebelum berakhirnya babak pertama.

Sekolah Sukan (hijau) dengan Politeknik Brunei semasa beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru semalam.
Sekolah Sukan (hijau) dengan Politeknik Brunei semasa beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak 4 Penjuru semalam.

Enam minit selepas sepak mula separuh masa kedua, Politeknik menghasilkan tiga jaringan berturut-turut dalam tempoh tiga minit bermula dengan jaringan Mohd Hazim bin Hamzah @ Hansen Dylann Bateman disusuli oleh Mohammad Arif bin Awang Haji Eisa seminit kemudian dan Mohd Hazim sekali lagi pada minit ke-43.

Pada kedudukan 7-0, Politeknik sudah selesa tetapi masih terus bermain untuk mendapatkan gol tambahan yang akhirnya hadir menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh Mohd Hazim bagi catatan hatriknya.

Kejohanan di padang Sekolah Sukan, Kampung Pulaie diadakan untuk memberikan pendedahan dan masa permainan kompetitif kepada para pemain muda Sekolah Sukan dan Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei.

Empat pasukan yang menyertainya ialah Akademi Bola Sepak Sekolah Sukan Brunei U14 2015, Sekolah Sukan B-15, DPMM FC B-19 dan Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA