Politeknik terima 985 pelajar baru

Politeknik terima 985 pelajar baru

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 Julai – Politeknik Brunei terus memainkan peranannya di barisan hadapan transformasi pendidikan teknikal di bawah Sistem Pendidikan Negara 21 (SPN21) yang mana ia berusaha untuk melahirkan pelajar-pelajar yang mempunyai kemahiran dan kecekapan global yang relevan.

Sehubungan dengan itu, bermula pengambilan Julai 2015, Politeknik Brunei menawarkan program diploma tiga tahun kepada pelajar-pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya lima keputusan kredit GCE peringkat O dalam mata pelajaran tertentu dan yang mempunyai kelayakan Sijil Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Di samping itu, buat kali pertama, Politeknik Brunei juga menawarkan program diploma tiga tahun dalam jurusan sains kesihatan.

Perkara itu antara yang didedahkan oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Awang Denis Ho Mun Tai ketika menyampaikan ucapan di Majlis Minggu Orientasi Politeknik Brunei ke-5 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, hari ini.

Awang Denis Ho bersama para tetamu yang lain hadir di majlis itu.
Awang Denis Ho bersama para tetamu yang lain hadir di majlis itu.
Awang Denis Ho menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
Awang Denis Ho menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.

Beliau turut mengalu-alukan seramai 985 orang pelajar baru Politeknik Brunei sesi akademik 2015/2016 yang juga merupakan jumlah pengambilan terbesar yang dicatatkan oleh pusat berkenaan.

Dalam pengambilan ke-5 itu, Politeknik Brunei menawarkan sebanyak 18 program yang dikendalikan di tiga lokasi iaitu di kampus sementara Politeknik Brunei di Kondominium Ong Sum Ping, Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa’adatul Bolkiah dan Kampus Politeknik Brunei di Lumut, Daerah Belait.

Para pelajar baru melafazkan ikrar mereka di majlis berkenaan.
Para pelajar baru melafazkan ikrar mereka di majlis berkenaan.

pg12_150710_b

Para pelajar baru yang hadir di Majlis Minggu Orientasi Politeknik Brunei ke-5.
Para pelajar baru yang hadir di Majlis Minggu Orientasi Politeknik Brunei ke-5.

Minggu orientasi yang berjalan selama tiga hari itu bermula 7 Julai lalu hingga hari ini di mana sepanjang orientasi, para pelajar diberikan taklimat mengenai pendaftaran dan peperiksaan, program pengayaan, kesihatan, keselamatan dan alam sekitar, perkhidmatan pelajar dan etika, perkhidmatan kewangan dan perkara-perkara akademik serta mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan kepimpinan dan kerja berpasukan.

Selain daripada itu, para pelajar juga diberikan taklimat mengenai kesedaran kewangan oleh Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), etika Internet oleh Pejabat Peguam Negara, taklimat antidadah daripada Biro Kawalan Narkotik, taklimat insurans daripada BIBD At-Tamwil dan menyertai tadarus Al-Quran.

ARTIKEL YANG SAMA