Politeknik terima kunjungan dari Thailand

Politeknik terima kunjungan dari Thailand

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Okt – Rombongan Persatuan Perpustakaan Thailand yang dalam rangka lawatan perpustakaan selama empat hari ke Brunei Darussalam, hari ini, telah mengadakan lawatan ke Politeknik Brunei.

Ketibaan rombongan seramai 21 orang ahli yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Tassana Hanpol dari Sukhothai Thammathirat Open University, Wilayah Nonthaburi, itu telah dialu-alukan oleh Pemangku Pengarah Politeknik Brunei, Denis Ho Mun Tai.

Menurut kenyataan Politeknik Brunei, lawatan berkenaan bertujuan untuk menjalinkan hubungan di antara Politeknik Brunei dan Persatuan Perpustakaan Thailand dengan bertukar-tukar maklumat, idea dan berkongsi pengalaman mengenai amalan-amalan terbaik perpustakaan serta bagi mendapatkan maklumat berhubung program-program yang ditawarkan terutamanya dalam bidang-bidang berkaitan pengurusan perpustakaan.

Dalam lawatan itu, perbincangan di antara kedua-dua belah pihak telah diadakan untuk bertukar-tukar maklumat dan pengalaman mengenai amalan-amalan terbaik perpustakaan.

Gambar ramai rombongan Persatuan Perpustakaan Thailand ketika mengadakan lawatan ke Politeknik Brunei.
Gambar ramai rombongan Persatuan Perpustakaan Thailand ketika mengadakan lawatan ke Politeknik Brunei.

Perbincangan juga menumpukan ke atas Diploma dalam ICT yang ditawarkan oleh Politeknik Brunei terutamanya mengenai Library Informatics and Computing, yang mana pembentangan turut disampaikan oleh pensyarah dari Sekolah ICT, Dayang Nurul Rasyidah binti Ab Durahman.

Turut hadir semasa perbincangan itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Politeknik Brunei, Awang Alias bin Haji Abu Bakar; Naib Presiden Persatuan Perpustakaan Brunei Darussalam, Haji Abd Talip bin Haji Tassim; Ketua Sekolah ICT, Awang Mohammad Hamdani bin Mustapa; Ketua Perpustakaan dan Pusat Pembelajaran, Hajah Norsenah binti Haji Mohd Nasir; dan Ketua Jabatan Perhubungan Antarabangsa dan Awam, Hajah Azizan binti Dato Paduka Haji Othman.

Lawatan telah diakhiri dengan rombongan meninjau kemudahan yang terdapat di Sekolah ICT dan Perpustakaan Politeknik Brunei.

ARTIKEL YANG SAMA