Polo amal kumpul lebih $53,000

Polo amal kumpul lebih $53,000

Oleh Yusrin Junaidi

Gambar Oleh Dean Kassim

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Sebanyak $53,122 telah berjaya dikumpulkan semasa Hari Polo Amal anjuran Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah dengan kerjasama Syarikat Cityneon pada 17 April 2016 lalu.

Sehubungan itu, hasil kutipan berkenaan telah disumbangkan kepada Pusat Ehsan Al-Ameerah Al-Hajjah Maryam pada majlis yang diadakan di Pusat Ehsan Bengkurong, hari ini.

Berangkat menyempurnakan penyampaian sumbangan ialah YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM  Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.

Sumbangan diterima oleh ahli Lembaga Pemegang Amanah Pusat Ehsan dan Pemegang Amanah Eksekutif  Pusat Ehsan, Pengiran Datin Hajah Noraini binti PDNLDR Pengiran Haji Abdul Momin selaku wakil Pusat Ehsan.

YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menyerahkan sumbangan kepada Pengiran Datin Hajah Noraini.
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menyerahkan sumbangan kepada Pengiran Datin Hajah Noraini.

p01-2_20160428 p01-3_20160428

YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan. - Gambar Dean Kassim
YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan YTM Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan bergambar ramai bersama warga Pusat Ehsan. – Gambar Dean Kassim

Setakat ini, seramai 156 orang pelajar berkeperluan khas berdaftar di Pusat Ehsan Bengkurong dan 53 lagi di cawangan Kuala Belait.

Pengarah Urusan Cityneon, Datuk Jack Ting ketika ditemui berkata, sumbangan yang diserahkan itu merupakan hasil daripada kutipan sewa petak-petak, jualan dan banyak lagi semasa Hari Polo Amal 2016. Ia diharap akan dapat membantu Pusat Ehsan dalam pelbagai hal.

“Cityneon akan sentiasa memberikan bantuan dan siap sedia memberikan bantuan kepada Pusat Ehsan, bahkan memberikan Pusat Ehsan bantuan logistik jika diperlukan secara percuma”.

Dalam pada itu, Media Permata juga berkesempatan menemu bual Pemegang Amanah Perancangan dan Dasar Pusat Ehsan, Haji Ahmad bin Haji Abdul Rahman mengenai projek pembangunan bangunan baru Pusat Ehsan.

Beliau berkata, Pusat Ehsan sedang merancang membina bangunan baru yang dijangka dilaksanakan pada Mei atau Jun dan ia akan terletak berdekatan dengan Pusat Ehsan lama.

Pembangunan bangunan baru ini, jelasnya, adalah mengikut peruntukan bajet kewangan Pusat Ehsan, yang mana pada fasa pertama, projek akan dimulakan dengan bangunan Blok Pemulihan Anggota dan jika bajet kewangan mencukupi barulah projek pembangunan ke bangunan seterusnya dilaksanakan.

Haji Ahmad juga berkata, pembinaan bangunan baru ini akan menelan belanja sebanyak $2.2 juta dan bajet kewangan untuk projek ini pun sudah tersedia.

Bahkan kemudahan dan peralatan pun juga sudah tersedia hasil sumbangan daripada pihak-pihak tertentu dan ada di antaranya daripada pihak Kementerian Kesihatan, orang perseorangan dan syarikat-syarikat swasta, tambahnya lagi.

Beliau berkata, Pusat Ehsan merupakan sebuah badan kebajikan bukan kerajaan dan memerlukan bantuan serta sokongan orang ramai untuk membangun agar dapat mencapai visi dan misi berkenaan iaitu antaranya membantu  mereka yang memerlukan terutama sekali mereka yang berkeperluan khas.

ARTIKEL YANG SAMA