Polo Hari Keputeraan

Polo Hari Keputeraan

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Ogos – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenaan mengambil bahagian dalam Kejohanan Polo sempena sambutan Hari Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang ke-69, berlangsung di Padang Polo, Royal Polo and Riding Club, Jerudong.

Pasukan Hitam yang diketuai oleh Baginda Sultan bersama Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah, Awang Abu Kassim dan Mejar Eswandi berjaya memasuki peringkat akhir setelah mengalahkan Pasukan Kuning 11-4.

Gol pertama dijaringkan oleh Pasukan Hitam pada minit kedua chaka pertama yang berkesudahan 2-1 memihak kepada Pasukan Hitam.

Pasukan Hitam terus unggul pada chaka kedua dengan jaringan pada minit pertama, ketiga, kelapan dan ke-11, manakala satu jaringan dibuat melalui pukulan penalti.

Chaka ketiga menyaksikan Pasukan Hitam terus mengungguli perlawanan yang berkesudahan 8-4 manakala pada chaka keempat Pasukan Hitam mengalahkan Pasukan Kuning dengan keputusan 11-4.

Barisan Pasukan Hitam yang terdiri daripada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Barisan Pasukan Hitam yang terdiri daripada KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan dan YTM Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah.
Pasukan Merah DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Pasukan Putih YAM Pengiran Muda Abdul Qawi.
Pasukan Merah DYTM Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah dan Pasukan Putih YAM Pengiran Muda Abdul Qawi.

Awal daripada itu pada perlawanan pertama, Pasukan Merah yang dianggotai oleh Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah tewas dalam perlawanan menentang Pasukan Putih dengan keputusan 5-6 dalam permainan empat chaka.

Pasukan Merah bagaimanapun berjaya mendahului Pasukan Putih pada chaka ketiga dengan keputusan 5-4, tetapi Pasukan Putih kembali mendahului permainan dengan menjaringkan dua gol pada chaka keempat, sekali gus memenangi perlawanan dan berjaya memasuki peringkat akhir.

Kejohanan selama dua hari yang dianjurkan oleh Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Puteri ‘Azemah Ni’matul Bolkiah itu disertai oleh empat pasukan.

Peringkat akhir akan berlangsung esok antara Pasukan Hitam menentang Pasukan Putih bagi menentukan juara dan tempat kedua manakala Pasukan Merah akan menentang Pasukan Kuning bagi menentukan tempat ketiga dan keempat.

ARTIKEL YANG SAMA