Polri sambut baik perintah berkurung 7 daerah di Sabah

Polri sambut baik perintah berkurung 7 daerah di Sabah

KOTA KINABALU, 28 Okt (Bernama) – Polis Republik Indonesia (Polri) menyambut baik pelaksanaan perintah berkurung yang dikuatkuasakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di tujuh daerah di Sabah pada ketika ini kerana turut mendapat manfaat keselamatan daripada pelaksanaan itu.

Ketua Polis Daerah (Polda) Kalimantan Timur (Kaltim) Drs Safaruddin berkata meskipun negara itu tidak pernah menghadapi ancaman jenayah rentas sempadan dari negara jiran iaitu di Selatan Filipina namun pelaksanaan itu sekali gus membantu membendung kemasukan jenayah seperti Penculikan untuk Wang Tebusan (KFR) ke Indonesia.

“Antara Polis Sabah dan Kaltim, kami tidak akan meletakkan sebarang batas dalam memerangi jenayah. Kami saling bantu-membantu ini kerana perlakuan jenayah itu sendiri tidak pernah dibatasi oleh negara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaludin Abdul Rahman di sini, hari ini sempena Mesyuarat Timbal Balas ke-13 antara PDRM Kontinjen Sabah dan Polis Republik Indonesia (Polri) Polda Kaltim di sini.

Sementara itu, Jalaludin berkata perintah berkurung hanya difokuskan di kawasan pantai timur Sabah dan tidak melangkau sehingga ke sempadan Indonesia kerana ancaman yang wujud adalah dari Selatan Filipina.

“Perkara ini sangat sensitif jadi saya terhadkan titik koordinasi itu tidak melampau ke garisan sempadan antara Indonesia dan Malaysia. Kami hanya fokus sempadan Filipina,” tambahnya.

Jalaludin berkata banyak manfaat daripada perintah berkurung itu boleh diperoleh Indonesia seperti tahap keselamatan negara itu lebih terjamin daripada kemasukan jenayah rentas sempadan seperti penculikan.

“Sekiranya, penjenayah atau pengganas dari negara jiran cuba memasuki Indonesia, sudah pasti akan melalui perairan Malaysia, tetapi kawasan itu sudah kita isytihar perintah berkurung pada waktu malam. Pergerakan mereka terbatas sekiranya niat mereka mahu menyeludup masuk ke Tarakan dan pintu masuk sempadan lain,” katanya.

Perintah berkurung itu merangkumi tujuh daerah di kawasan pantai timur Sabah iaitu Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran, melibatkan jarak tiga batu nautika dari pantai hingga ke titik garisan yang ditetapkan.