‘Pondan’ diberkas selepas 36 jam larikan sedulang barang kemas

‘Pondan’ diberkas selepas 36 jam larikan sedulang barang kemas

MARANG, 4 Jan (Bernama) – Polis menahan seorang lelaki berperwatakan lembut kira-kira 36 jam selepas dipercayai melarikan sedulang barang kemas dari sebuah kedai emas di Bukit Payong, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP Wan Abd Aziz Wan Hamzah berkata suspek berusia 35 tahun itu diberkas kira-kira pukul 11 malam semalam di rumah sewanya di Kampung Rhu 2, dekat sini.

Katanya hasil pemeriksaan dalam rumah suspek, polis berjaya menemui sebahagian barang kemas yang dicuri yang disorokkan di pelbagai tempat dalam rumah itu termasuk dalam kasut dan beg.

“Hasil serbuan itu juga polis menemui resit menjual sebentuk cincin, sehelai kemeja T berwarna merah jambu dan tudung yang dipakai suspek ketika melarikan barangan kemas berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya polis berjaya menemui dan merampas kembali sebahagian barangan kemas yang dicuri dan yang telah dijual bernilai kira-kira RM80,000.

Mengulas lanjut, Wan Abdul Aziz berkata sebelum kejadian pada Sabtu lalu, suspek dipercayai pernah mengunjungi kedai emas itu pada 30 Disember lepas untuk menjual sebentuk cincin di kedai tersebut.

“Rakaman CCTV pada 4.30 petang 30 Disember lalu menunjukkan premis itu dikunjungi seorang pelanggan lelaki yang berperwatakan lembut dalam keadaan mencurigakan,” katanya.

Suspek yang berasal dari Negeri Sembilan itu juga mengaku berpakaian wanita dan masuk ke premis berkenaan sebelum berhenti di sebuah stesen minyak untuk membuka tudung.

Wan Aziz berkata suspek yang juga merupakan orang sekatan Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) atas kesalahan dadah sejak 2013 ditahan reman selama 14 hari bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis morfin dan methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya.

Sabtu lalu seorang peniaga emas dekat sini kerugian kira-kira RM200,000 selepas satu dulang barangan kemas dilarikan seorang wanita ketika beliau dan isterinya menunaikan solat.

ARTIKEL YANG SAMA