Pondok 12 tewaskan Wasabi 16

Pondok 12 tewaskan Wasabi 16

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Feb – Pondok 12 berjaya menewaskan Wasabi 16 dalam aksi Kumpulan A, Piala Presiden Kejohanan Bolasepak Veteran Kebangsaan (KBVK) DST Kali Ke-7, 2016 di Kompleks Sukan Menglait petang ini.

Perlawanan berlangsung agak seimbang dengan kedua-dua pasukan berbalas-balas serangan namun Pondok 12 lebih tepat dari segi percubaannya ke gawang lawan sehingga berjaya memperoleh tiga gol berbanding hanya satu gol bagi Wasabi 16.

Gol pembukaan perlawanan terhasil pada minit ke-12 oleh Awang Mohd Kamranshah bin Haji Lamat untuk Pondok 12 mengemudi perlawanan dengan jaringan 1-0 dan hanya tiga minit berselang kedudukan sudah berubah menjadi 2-0 setelah Pengiran Hadisham bin Pengiran Omar pula menemui sasaran di gawang Wasabi 16.

Pada minit ke-24, Isra Herwadee bin Ismail mencantas pendahuluan Pondok 12 kepada hanya satu gol apabila beliau berjaya menggegar gawang Pondok 12 sekaligus merubah kedudukan kepada 1-2. Kedudukan 2-1 itu kekal sehingga rehat namun hanya dua minit perlawanan dimulakan semula, Pondok 12 sudah mendapat gol ketiganya, kali ini dijaringkan oleh Haji Shahminan bin Haji Abdul Hamid.

Haji Shahminan (kanan) ketika mengelecek pertahanan Wasabi 16 (biru) dalam perlawanan yang dimenangi pasukannya, Pondok 12 dengan jaringan 3-1.
Haji Shahminan (kanan) ketika mengelecek pertahanan Wasabi 16 (biru) dalam perlawanan yang dimenangi pasukannya, Pondok 12 dengan jaringan 3-1.

Ternyata 43 minit baki perlawanan selepas itu menyaksikan tiada lagi jaringan berjaya dihasilkan kedua-dua buah pasukan sekaligus memberikan Pondok 12 kemenangan 3-1 dan tiga mata penuh.

Ada tiga lagi perlawanan turut berlangsung pada masa yang sama hari ini iaitu Media FC lawan Riwayat FC dalam Kumpulan A di Sekolah Menengah (SM) Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Rimba Star FC lawan B.O.B. dalam Kumpulan G di SM Awang Semaun dan MIISA United FC lawan KB Warriors dalam Kumpulan H di Kompleks Sukan Sungai Kebun. Keputusannya Media FC tewas 0-5 kepada Riwayat FC, Rimba Star FC menang 2-1 ke atas B.O.B. dan MIISA United FC kalah 1-2 kepada KB Warriors.

ARTIKEL YANG SAMA