Pope Francis lawat Cuba bulan depan

Pope Francis lawat Cuba bulan depan

HAVANA, 4 Ogos (AFP) – Para pekerja di Cuba memulakan pembinaan mazbah sempena kunjungan bersejarah Pope Francis ke negara tu bulan depan, dengan lokasi pembinaannya adalah bersebelahan dengan potret gergasi Che Guevara.

Francis, yang berasal dari Argentina sama seperti revolusioner yang terkenal itu, akan melawat Cuba pada 19 hingga 22 September depan sebagai sebahagian jelajah yang kemudian akan membawanya ke Amerika Syarikat.

Beliau akan mengetuai upacara keagamaan pada 20 September di Plaza de la Revolucion di Havana. Medan yang luas itu bersempadankan Kementerian Dalam Negeri di samping sebuah arca yang memaparkan wajah Guevara.

Arca bersaiz 36 meter itu adalah berasaskan foto tahun 1960 ikonik Guevara oleh Alberto Korda yang turut dihasilkan semula di atas baju T serta poster di seluruh dunia.

Para pekerja giat menjalankan kerja-kerja pembinaan pentas besar di Medan Revolusi di Havana pada 3 Ogos 2015, bagi kegunaan sempena lawatan Paus Francis ke Cuba. – AFP
Para pekerja giat menjalankan kerja-kerja pembinaan pentas besar di Medan Revolusi di Havana pada 3 Ogos 2015, bagi kegunaan sempena lawatan Paus Francis ke Cuba. – AFP

Guevara, yang berjuang bersama-sama Fidel Castro untuk menyingkirkan diktator Fulgencio Batista dalam Revolusi Cuba pada 1959, menjadi simbol kepada revolusi Marxist sejak penawanan serta pelaksanaan hukuman mati ke atasnya di Bolivia pada 1967 ketika berusia 39 tahun.

Pope John Paul II dan Benedict XVI juga turut mengadakan upacara keagamaan berhampiran potret gergasi Guevara ketika membuat kunjungan ke Cuba pada 1998 dan 2012.

Pope Francis memainkan peranan penting dalam rundingan sulit yang menjurus kepada pemulihan hubungan diplomatik di antara Amerika Syarikat dan Cuba bulan lepas selepas lebih setengah dekad. Cuba adalah satu-satunya negara komunis satu parti di rantau Amerika.

ARTIKEL YANG SAMA