Populariti Sabah tarik perhatian pegawai China

Populariti Sabah tarik perhatian pegawai China

KOTA KINABALU, 4 Okt – Populariti Sabah yang semakin berkembang sebagai destinasi pelancong merupakan antara topik utama dibangkitkan pegawai dari China dalam pertemuan dengan delegasi 10 Anggota Dewan Undangan Negeri Sabah pada lawatan kerja sembilan hari ke China yang berakhir semalam.

Menteri Tugas-Tugas Khas negeri Datuk Teo Chee Kang yang mengetuai delegasi itu berkata pegawai China menyatakan bahawa Sabah menjadi destinasi disukai dan popular dalam kalangan pelancong China.

“Keindahan alam semula jadi Sabah serta persekitaran yang bersih dan tidak tercemar juga antara faktor kehadiran ramai pelancong China yang kagum dengan pelbagai tarikan seperti resort tepi pantai, pantai berpasir, makanan laut segar dan pelbagai juadah tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata pakatan Persahabatan bandar raya Hangzhou-Kota Kinabalu, yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi, pastinya akan meningkatkan lagi pelancongan antara kedua-dua bandar, dan kini AirAsia telah mengadakan penerbangan harian yang menghubungkan kedua-dua bandar raya itu.

Menurut Teo, keperluan untuk mempercepatkan pemeteraian pakatan itu dibangkitkan semasa mesyuarat delegasi dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Perbandaran Hangzhou Wang Jincai.

Dalam pertemuan dengan China People’s Association for Friendship with Foreign Countries, naib pengerusinya Lin Yi dan Teo membangkitkan kemungkinan untuk mewujudkan lebih banyak bandar persahabatan antara China dan Malaysia, khususnya di Sabah.

Ini untuk meningkatkan lagi hubungan antara rakyat dengan rakyat, bukan sekadar menerusi pertukaran lawatan, tetapi juga terhadap aktiviti pelancongan.

Pertemuan dengan timbalan gabenor Hui Linxia Autonomous Prefecture, Shang Jinxi, Teo berkata Linxia dan Sabah perlu meneroka kemungkinan bekerjasama dalam pelancongan Islam.

Semasa lawatan ke Lanzhou, pegawai memberitahu delegasi bahawa beberapa syarikat pelancongan di bandar dengan tiga juta orang itu sedang melihat kemungkinan untuk mengatur lawatan ke Sabah.

Antara anggota delegasi ialah Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) Datuk Joniston Bangkuai, Timbalan-timbalan Speaker Datuk Johnny Mositun dan Datuk Dr Johnson Tee serta beberapa timbalan menteri negeri. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA