Poroshenko mahu tingkat pelancong Ukraine ke M’sia

Poroshenko mahu tingkat pelancong Ukraine ke M’sia

PUTRAJAYA, 7 Ogos – Walaupun tragedi MH17 yang berlaku dua tahun lalu adalah satu daripada topik utama yang dibincangkan semasa lawatan Presiden Ukraine Petro Poroshenko, pelancongan dua hala juga sangat dekat di hati presiden itu.

Matlamat beliau adalah untuk menarik lebih ramai rakyat Ukraine untuk melawat Malaysia, sebuah negara yang digambarkan beliau sebagai sangat menarik dan senang menerima tetamu.

Malaysia boleh dipromosikan dengan lebih baik di Ukraine, yang akhirnya akan meningkatkan bilangan pelancong Ukraine ke Malaysia dengan ketara, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual singkat di sini pada Khamis, sempena lawatan rasmi pertamanya selama tiga hari ke Malaysia, yang berakhir Jumaat lepas.

“Sebenarnya ia adalah sebuah negara yang baharu (untuk Ukraine), sangat menarik dan sangat positif bagi pelancong Ukraine, dengan tahap hospitalitinya yang hebat,” katanya.

Poroshenko berkata bagi tahun 2014, hanya 3,000 rakyat Ukraine melawat Malaysia, namun setahun kemudian jumlah itu meningkat kepada 5,000 orang.

Petro Poroshenko ketika melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia yang berakhir Jumaat lalu. – Bernama
Petro Poroshenko ketika melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia yang berakhir Jumaat lalu. – Bernama

“Melihat kepada trend, saya benar-benar berharap kita de-ngan mudah boleh menggandakan angka ini dengan mempromosikan Malaysia secara berkesan,” katanya.

Beliau berkata kerajaan Ukraine bukan sahaja akan berusaha untuk menarik rakyat Ukraine ke Malaysia tetapi juga menarik lebih ramai rakyat Malaysia untuk melawat negara Eropah timur itu, yang boleh dicapai melalui pemberian visa tanpa masalah birokrasi.

Pada sidang akhbar bersama pada Khamis, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kedua-dua negara bersetuju untuk memulakan perbincangan mengenai visa semasa ketibaan bagi memudahkan lebih ramai pengunjung dari Malaysia ke Ukraine dan sebaliknya.

Menikmati hubungan diplomatik yang rapat sejak diwujudkan pada 1992, Malaysia adalah antara negara pertama yang mengiktiraf kemerdekaan Ukraine daripada Kesatuan Soviet pada 1991.

Dalam perkembangan lain, Presiden itu mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Malaysia dan rakyatnya kerana menyokong Ukraine dalam mempertahankan kedaulatan dan integriti wilayahnya di peringkat Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana bersama-sama dengan Ukraine semasa tempoh yang sukar dan juga menyokong kami dalam PBB,” katanya.

Beliau merujuk kepada resolusi Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNGA) berhubung tindakan Ukraine menolak pengilhakan Rusia tentang Crimea yang diterima pakai pada 27 Mac, 2014. Resolusi itu meminta negara-negara anggota supaya tidak mengiktiraf perubahan dalam status wilayah Crimea.

Malaysia adalah satu daripada 100 anggota yang mengundi menyokong, manakala 11 mengundi menentang dan 58 berkecuali.

Ketika diminta mengulas mengenai Laporan PBB terkini, yang menyatakan bahawa kecederaan orang awam yang disebabkan oleh konflik di timur Ukraine telah mencecah paras tertinggi baru sejak Ogos tahun lepas, Poroshenko mengakui fakta itu.

Menurut laporan PBB, seba-nyak 12 kematian dan 57 kece-deraan dalam kalangan bukan pejuang pada bulan Jun di kawasan konflik manakala lapan terbunuh dan 65 yang lain cedera pada bulan Julai.

“Dari awal perang, Ukraine kehilangan 2,497 tentera. Hanya pada Julai, 40 tentera Ukraine terbunuh dan ramai orang awam mengalami kesengsaraan dan 170 anggota tentera cedera,” kata Poroshenko.

Presiden itu juga merujuk kepada Protokol Minks itu, satu perjanjian untuk menghentikan perang di timur Ukraine.

Menurut laporan, perjanjian Minsk itu membawa Ukraine, Rusia, Jerman dan Perancis berunding pada Februari 2015 untuk menamatkan pertempuran yang berlaku di timur Ukraine selepas kejatuhan Presiden yang disokong Moscow dan munculnya kuasa kepimpinan yang pro Barat.

Tetapi gencatan senjata itu telah gagal untuk menghentikan semua pertempuran antara tentera kerajaan Ukraine dan pemberontak yang disokong Rusia dengan kedua-dua pihak saling tuduh menuduh antara satu sama lain atas kegagalan menghormati komitmen yang dibuat di Minsk.

PBB berkata bahawa konflik di timur Ukraine telah mengorbankan kira-kira 9,553 orang dan mencederakan 22,137 yang lain sejak ia bermula pada April 2014. – Bernama