Porsche Boxters baru dilancarkan

Porsche Boxters baru dilancarkan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Julai – Syarikat QAF Eurokars selaku pengedar utama kenderaan jenama Porsche di Brunei, telah melancarkan dua model Porsche Boxters serba baru iaitu 718 Boxster dan 718 Boxster S dalam majlis bertemakan litar lumba 60’an di Hotel Radisson, di ibu negara, hari ini.

Pelancarannya di hadapan para pelanggan setia Porsche Brunei serta jemputan lainnya telah disempurnakan oleh Timbalan Pengurus Besar QAF Eurokars Sdn Bhd, Clement Chong dan Dato Paduka Haji Jemat bin Haji Ampal.

Setelah dua dekad barisan model pertama diperkenalkan pada tahun 1996, model 718 Boxster terbaru ini mengetengahkan pelbagai perubahan termasuk dari segi reka bentuknya yang tampak lebih moden, elegan dan sportif.

Tarikan utama kedua-dua kenderaan dua tempat duduk berkenaan adalah ia didatangkan dengan enjin empat silinder yang digabungkan dengan turbocharged yang baru sahaja dibangunkan.

Clement Chong ketika berucap menekankan prestasi mantap Porsche Boxster berbanding generasi sebe-lumnya.
Clement Chong ketika berucap menekankan prestasi mantap Porsche Boxster berbanding generasi sebe-lumnya.
Orang ramai menyaksikan lebih dekat model terbaru Porsche Boxster 718 dan Boxster 718 S yang dilancarkan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.
Orang ramai menyaksikan lebih dekat model terbaru Porsche Boxster 718 dan Boxster 718 S yang dilancarkan di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan.

Dengan enjin 2 liter, 718 Boxster mampu menghamburkan 300 kuasa kuda, manakala itu, model 718 Boxster S pula mempunyai kuasa kuda 350 pada enjin 2.5 liter. Clement Chong berkata, 718 Boxster mempunyai prestasi kuasa yang lebih baik daripada generasi sebelumnya dan 14 peratus lebih efisien. Ia bukan sahaja bagi kegunaan di litar perlumbaan bahkan kegunaan perjalanan setiap hari.

Menurutnya lagi, model ini juga sebagai penghormatan kepada kereta lumba 718, sebuah kereta legenda yang lahir pada tahun 1953 dan memenangi lebih 1,000 perlumbaan di seluruh dunia dari Sebring, Targa Florio ke Le Mans.

Secara keseluruhannya, 718 Boxster versi terbaru ini membawa jenama Porsche melangkah setapak ke hadapan dalam meningkatkan kepuasan pelanggan dari segi keseronokan pemanduan, prestasi serta keselesaan.

Pelanggan Porsche yang berminat bolehlah mengunjungi Bilik Pameran Pusat Porsche Brunei di Beribi dan membuat uji pandu model 718 Boxster tersebut.