Porsche Cayenne terbaru dilancar

Porsche Cayenne terbaru dilancar

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mac – QAF Eurokars Sdn Bhd selaku pengedar utama kenderaan jenama Porsche di Brunei, telah melancarkan keluaran model-model terbaru Porsche Cayenne untuk pasaran negara ini dalam majlis yang berlangsung di Pusat Porsche Brunei, Beribi, pagi tadi.

Pelancaran telah disempurnakan oleh Pengurus Besar Kumpulan QAF Motor, Roger Fletcher dan Timbalan Pengurus Besar QAF Eurokars Sdn Bhd, Clement Chong.

Kehebatan Cayenne ini jelas dilihat pada reka bentuk luarannya, terutamanya bahagian depan dan belakang yang kini tampak lebih tegap, aerodinamik, sportif dan bergaya. Model baru ini mempunyai jarak roda 2,895 mm dan jarak panjang 4,855 mm, menjadikannya lebih luas dan panjang berbanding model sebelumnya.

Model terbaru ini turut ditambah dengan empat lampu sorot LED sebagai lampu standard bagi penggunaan waktu siang serta lampu utama Porsche Dynamic Light System (PDLS) bagi kegunaan waktu malam yang mampu mengukur kawalan lampu di samping memberi cahaya mengikut belokan pemandu.

Antara model yang diperkenalkan semasa pelancaran itu termasuk Cayenne Diesel, Cayenne S, Cayenne Turbo S dan Cayenne V6 yang digabungkan dengan standard gear transmisi Automatik Tiptronic S lapan kelajuan.

Roger Fletcher (kanan) bersama Clement Chong menyempurnakan pelancaran model terbaru Porsche Cayenne.
Roger Fletcher (kanan) bersama Clement Chong menyempurnakan pelancaran model terbaru Porsche Cayenne.

Roger Fletcher dalam ucapannya berkata, Cayenne direka untuk merealisasikan sebuah kereta sukan untuk digunakan setiap hari, membolehkan pemandu Porsche memaksimumkan pemanduan setiap hari.

“Kami percaya Cayenne akan terus menjadi sebuah kereta berprestasi tinggi berbanding model lainnya,” ujarnya.

Cayenne terbaru ini dimuatkan dengan teknologi Air Suspension dengan pengurusan kestabilan dinamakan sebagai Porsche Active Suspension Management (PASM). Ia juga sebagai sistem pengawalan redaman (damping) elektronik yang secara berterusan menjaga dan mengawal perubahan redaman pada setiap roda mengikut kondisi jalan serta ciri-ciri pemanduan iaitu mengikut pilihan mod Comfort atau Sport.

Porsche Cayenne mendominasi perjalanan jauh, yang mana walaupun pada kelajuan tinggi ia tersebut mampu memberikan kestabilan pemanduan yang mudah dan selamat. Dalam pengalaman keseluruhan, Porsche Cayenne ini berprinsipkan kepada sebuah kereta berwatakkan kesukanan, kemewahan dan berkeluarga.

Variasi Porsche Cayenne Turbo S yang lebih berkuasa.
Variasi Porsche Cayenne Turbo S yang lebih berkuasa.
Porsche Cayenne S yang tampak gagah dan bergaya.
Porsche Cayenne S yang tampak gagah dan bergaya.
Bentuk belakang yang tampak sportif sesuai digunakan oleh semua peringkat usia.
Bentuk belakang yang tampak sportif sesuai digunakan oleh semua peringkat usia.

Awangku Khairul Amilin selaku salah seorang pemilik Porsche Cayenne V6 berkongsi pengalaman beliau memiliki Porsche Cayenne yang menurutnya, sangat selesa dengan pengalaman berbeza.

Antara fungsi yang sering digunakan dalam model terbaru ini termasuk teknologi Bluetooth, Navigasi dan teknologi Blindspot Assist yang memaklumkan akan kedatangan kereta di bahagian sisi yang susah untuk dilihat.

Secara keseluruhan, sejak memiliki model terbaru ini, Awangku Khairul Amilin berpuas hati dengan apa jua fungsi dan pengalaman pemanduan Cayenne tersebut.

Porsche Cayenne kini mempunyai ciri-ciri roda standard berukuran 20 inci dan sistem pemanduan bantuan pemandu yang baru seperti Lane Change Assistant serta Adaptive Cruise Control yang boleh diperoleh sebagai pilihan, begitu juga dengan Burmester High-End Surround Sound System dengan 16 rangkaian dan maksimum output 1,000 watt.

Jika berminat dengan model-model tersebut, orang ramai boleh mengunjungi Pusat Porsche Brunei di Beribi semasa waktu bekerja.

ARTIKEL YANG SAMA