Portal e-Borneo jadi sumber rujukan khazanah

Portal e-Borneo jadi sumber rujukan khazanah

SANDAKAN, 8 Okt (Bernama) – Portal Gerbang Borneo (e-Borneo) Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), menjadi satu lagi sumber rujukan terbaharu berkaitan khazanah Borneo.

Portal tersebut dilancarkan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat negeri di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP Prof Zaharani Ahmad berkata maklumat dalam laman ini meliputi pelbagai bidang seperti budaya, sastera, bahasa, sejarah, adat dan sosiobudaya serta alam sekitar daripada pelbagai bahan.

Katanya antara bahan itu adalah buku, majalah, kertas kerja, keratan akhbar, buku laporan dan buku cenderamata.

“Selain negeri Sabah, bahan disediakan juga meliputi bahan dari negeri Sarawak dan pada masa akan datang kita merancang bahan dari Negara Brunei dan Kalimantan,” katanya.

Beliau berkata pembinaan laman web itu sesuai dengan situasi kini bahawa masyarakat lebih mudah mencari maklumat di hujung jari.

Katanya ia memberikan masyarakat ruang yang lebih luas dan mudah untuk mencapai pelbagai maklumat berkaitan Borneo. E-Borneo boleh dilayari di eborneo.dbp.gov.my.