Portal kongsi maklumat

Portal kongsi maklumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Sept – Pertemuan Guru-Guru Nusantara (PGN) ke-16 yang berlangsung di D’ Resorts , Downtown East, Singapura, pada 4 dan 5 September yang lalu telah menyaksikan pelancaran Portal PGN yang akan digunakan sebagai wadah pembangunan pendidikan negara anggota.

Berdasarkan resolusi pertemuan dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB), di sini, hari ini, portal berkenaan akan ditadbir oleh pihak Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura untuk tujuan keselarasan.

Setiap negara anggota boleh menggunakan portal ini sebagai platform untuk berkongsi maklumat, nota pelajaran, pedagogi, dan sebagainya, dalam rangka memperbaik proses pembelajaran Bahasa Melayu/Indonesia/Malaysia.

Manakala itu, bahan yang hendak dimuat naik ke portal akan dihantar kepada Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dan akan memuat naik untuk manfaat bersama.

Selain daripada itu, pertemuan yang dianjurkan oleh Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura dengan sokongan negara-negara anggota, iaitu Negara Brunei Darussalam melalui PGGMB, Malaysia melalui Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat dan Indonesia melalui Persatuan Guru Republik Indonesia, itu turut menggariskan dua resolusi lain yang dipersetujui semua ahli.

Antara guru-guru yang mengikuti pertemuan itu.
Antara guru-guru yang mengikuti pertemuan itu.

Resolusi lain termasuk semua resolusi yang pernah dipersetujui dalam pertemuan-pertemuan yang lalu akan dinilai semula, yang mana setiap resolusi akan dilihat semula sama ada telah dilaksanakan, sedang dilaksanakan, atau pun belum dilaksanakan lagi.

Jika sudah dilaksanakan, sejauh manakah kejayaan dan keberkesanannya atau Jika sedang dilaksanakan, bilakah jangka masa pelaksanaan ini selesai. Manakala itu, jika belum dilaksanakan, apakah kendala-kendalanya, perlukah dinilai semula kewajarannya, atau perlu digugurkan.

Ahli-ahli juga bersetuju bahawa pemerintah wajar memberi sokongan penuh kepada usaha-usaha yang dijalankan oleh anggota PGN ini dari segi mengadakan memorandum persefahaman untuk membolehkan guru-guru menghadiri program pertukaran antara negara setiap tahun buat satu jangka masa yang tertentu.

Dengan ini, guru-guru yang terlibat dapat menimba ilmu dan pengalaman, akhirnya menjadi ejen perubahan kepada dunia pendidikan dan pembelajaran Bahasa Melayu di negara masing-masing.

Di samping itu juga, menerusi pendanaan kegiatan-kegiatan yang dianjurkan oleh badan-badan yang berusaha memperbaik aspek Pendidikan dan Pembelajaran Bahasa Melayu/Indonesia/Malaysia.

Dalam memartabatkan Bahasa Melayu supaya menjadi bahasa dunia di persada antarabangsa, pemerintah harus memainkan peranan dengan menggunakan bahasa ini pada setiap kesempatan di arena antarabangsa.

Resolusi ini telah dipersetujui dan ditandatangani oleh para pemimpin delegasi PGN ke-16, iaitu Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Singapura, Encik Salim; Presiden PGGMB, Haji Antin bin Ahad; Ketua Persatuan Guru Republik Indonesia, Dr H. Sugito M. Si; dan Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Haji Mohamed Sabri bin Haji Mohd Arsad.

Pertemuan tahun ini membawa tema ‘Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Pendidik Abad Ke-21’.