Portugal atasi Belgium 2-1

Portugal atasi Belgium 2-1

LEIRA, Portugal, 30 Mac (Reuters) – Portugal ternyata terlalu kuat buat Belgium selepas mencatat kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan, awal pagi tadi.

Belgium sepatutnya menjadi tuan rumah di Brussels namun terpaksa ditukar ke Leira berikutan insiden pengeboman di lapangan terbang dan ibu negara itu yang mengorbankan 32 orang, termasuk tiga disyaki pengebom berani mati.

Belgium yang menduduki tangga teratas ranking FIFA, kehilangan beberapa tonggak utamanya dan memberi peluang kepada pemain lain membuktikan kemampuan menyertai skuad ke Euro 2016.

Bagaimanapun hanya seorang dua yang tampak menyerlah dengan penjaga gol, Thibaut Courtois muncul pemain paling cemerlang Belgium pada perlawanan itu.

Aksi Nani (kiri) meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan di Stadium Pessoa dalam perlawanan menentang Belgium. – Reuters
Aksi Nani (kiri) meraikan jaringan selepas berjaya membolosi gawang pasukan lawan di Stadium Pessoa dalam perlawanan menentang Belgium. – Reuters

Antara tonggak Belgium yang cedera ialah kapten, Vincent Kompany dan gandingannya di benteng pertahanan, Jan Vertonghen, pemain tengah Kevin De Bruyne, perancang utama Eden Hazard dan penyerang Christian Benteke.

Bek kanan, Toby Alderweireld turut direhatkan kerana tidak sihat sehingga menyaksikan jentera pertahanan Belgium bergelut bagi mengekang serangan Portugal diterajui Cristiano Ronaldo.

Portugal yang tewas 1-0 di laman sendiri kepada Bulgaria, Jumaat lalu dengan Ronaldo gagal menyempurnakan penalti, memaksa Courtois menyelamatkan empat percubaan sepanjang tempoh 15 minit pertama.

Bagaimanapun, dia akhirnya tumpas dengan rembatan minit ke-20 Nani dan tandukan padu Ronaldo 20 minit kemudian.