Portugal halangan terakhir Perancis

Portugal halangan terakhir Perancis

PARIS, 10 Julai – Cristiano Ronaldo dan Portugal menjadi halangan terakhir yang perlu diruntuhkan oleh Perancis untuk meraih kejayaan hatrik di tempat sendiri apabila kedua-dua pasukan tersebut bertemu dalam perlawanan akhir Euro 2016 di Stade de France.

Venue itu menjadi sasaran pengebom berani mati ketika skuad Les Bleus menentang Jerman dalam perlawanan persahabatan pada November lalu selepas bandar Paris diserang sehingga mengorbankan 130 mangsa.

Peristiwa itu membayangi permulaan Euro 2016 tetapi selepas kejayaan menumpaskan Jerman di separuh akhir, Perancis mensasarkan untuk menjulang trofi kejohanan utama di laman sendiri setelah menjuarai Euro 1984 dan Piala Dunia 1998.

“Terdapat begitu banyak semangat, keriangan serta kegembiraan di Perancis. Satu kisah yang hebat.

“Kami tidak mengatakan kami ada kuasa untuk menyelesaikan semua masalah rakyat Perancis.

“Namun kami ada kuasa untuk menjana emosi dan membuatkan mereka lupa terhadap kebimbangan mereka,” kata bos Les Bleus, Didier Deschamps.

Serangan pada November itu, yang didakwa dilakukan oleh militan Negara Islam (IS), memberi kesan mendalam kepada penyerang Perancis, Antoine Griezmann.

Sewaktu kejadian, Griezmann berada di padang Stade de France manakala kakak sulungnya Maud terselamat daripada serangan ketika sedang menyaksikan konsert di pusat bandar Paris yang meragut 89 nyawa.

UEFA-Euro-2016-Logo p20-1_20160711 p20-2_20160711

Penyerang Atletico Madrid itu gagal menyempurnakan penalti ketika beraksi dalam final Liga Juara-juara selepas tumpas kepada Real Madrid pada Mei malah menghadapi permulaan hambar sewaktu mencatat kemenangan 2-1 ke atas Romania dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, Euro 2016.

Bagaimanapun selepas membuka akaun gol apabila meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-90 sewaktu menentang Albania, nama Griezmann mula menjadi sebutan apabila dia menjaringkan gol ketika menumpaskan Ireland, Iceland dan Jerman.

Griezmann telah menjaringkan tiga gol setakat ini, tiga melebihi pencabar terdekatnya sekali gus menjadikannya sebagai calon utama untuk memenangi anugerah Kasut Emas serta pemain terbaik kejohanan.

Bagaimanapun, Ronaldo menunjukkan kebolehan sebenarnya pada masa yang tepat selaku pemain yang mampu menentukan perlawanan menerusi tandukan kencang ketika Portugal menumpaskan Wales 2-0 dalam separuh akhir.

Dan dengan usianya menginjak 31 tahun pada Februari lalu, bintang Real Madrid itu mengetahui selepas ini dia mungkin tidak berpeluang lagi untuk menjadi inspirasi kepada negaranya dalam kejayaan menjulang trofi pertama dalam kejohanan utama.

Ronaldo tidak pernah merasai kejayaan menewaskan Perancis namun dia tidak keseorangan kerana berdasarkan rekod Portugal tewas dalam 10 pertemuan menentang Les Bleus sejak 1975.

Perancis mengecewakan Portugal dua kali dalam usaha mereka untuk melakar kejayaan dalam Euro selepas Michel Platini dan Zinedine Zidane menjaringkan gol pada masa tambahan sewaktu kedua-dua pasukan tersebut bertemu dalam separuh akhir Euro 1998 dan Euro 2000.

Perancis sekali lagi menewaskan Portugal dalam separuh akhir Piala Dunia 2006 sebelum skuad Les Blues itu tumpas menerusi penentuan penalti ketika menentang Itali ketika final kejohanan tersebut.

Portugal turut dikejutkan dengan kekalahan 1-0 kepada Greece sewaktu menjadi tuan rumah Euro 2004 yang menjadi penampilan pertama mereka di pentas akhir kejohanan besar.

Deschamps, 47, merupakan ketua pasukan Perancis yang menjadi juara Piala Dunia 1998 dan Euro 2000 dan kini memburu kejayaan ketiga dalam kejohanan besar.

Bekas pemain tengah Juventus itu mempunyai reputasi di Perancis sebagai orang yang sering bernasib baik dan ini berlaku lagi apabila pasukannya menumpaskan Jerman, yang mendominasi perlawanan separuh akhir kelmarin.

Pasukannya akan bermula sebagai pasukan pilihan, tetapi walaupun kemenangan Portugal ke atas Wales adalah yang pertama mereka lakukan dalam masa 90 minit sejak awal kejohanan, mereka tetapi sukar dijinakkan dan berbahaya.

“Kami percaya dengan diri sendiri, kami sentiasa yakin.

“Jurulatih kami telah menanamkan keyakinan ini, semangat ini.

“Kritikan akan sentiasa ada, walaupun di Portugal, tetapi kami percaya dan kami kami akan berusaha menunjukkannya dalam perlawanan akhir,” kata pemain tengah Joao Mario.

Jurulatih Portugal, Fernando Santos bagaimanapun bimbang mengenai kecergasan pertahanan tengah Pepe, yang tidak bermain ketika mereka menang ke atas Wales Rabu lalu kerana cedera paha.

Bruno Alves bersiap sedia untuk menggantikannya sekali lagi manakala pemain tengah bertahan William Carvalho akan kembali daripada penggantungan untuk perlawanan yang dijangka disaksikan kira-kira 300 juta penonton seluruh dunia itu.

Perancis pula mesti membuat keputusan sama ada untuk mengekalkan formasi 4-2-3-1 yang membolehkan Griezmann menonjolkan kehebatannya, atau membawa masuk pemain tengah N’Golo Kante dan berubah kepada 4-3-3. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA