Portugal haramkan makanan ringan

Portugal haramkan makanan ringan

LISBON, 26 Mei – Tidak lama lagi, orang ramai yang mempunyai janji temu di pusat kesihatan milik kerajaan di Portugal tidak akan berpeluang membeli ‘junk food’ atau makanan ringan seperti kerepek atau coklat, lapor agensi berita China, Xinhua. Menteri Kesihatan Portugal, Adalberto Campos Fernandes, pada Rabu memaklumkan Parlimen bahawa dalam usaha menjadi teladan ke arah pemakanan sihat, negara itu akan mengharamkan mesin menjual makanan dan minuman mengandungi paras gula atau garam yang tinggi.

Beliau berkata peraturan itu akan dikuat kuasa dalam tempoh terdekat. Kerajaan Portugal sebelum ini membincangkan pengenalan satu cukai khas iaitu ‘cukai lemak’ ke atas beberapa jenis makanan dalam usaha memerangi gejala obesiti. Bagaimanapun, Menteri Kesihatan Portugal ketika itu, Paulo Macedo, memutuskan bahawa ia bukanlah satu langkah yang betul bagi menggalakkan pemakanan sihat.

Beberapa negara Eropah turut mengharamkan makanan remeh di hospital serta mengambil langkah untuk memperkenal cukai lemak, dan satu laporan Kesatuan Eropah (EU) mendakwa cukai itu sememangnya berkesan dalam mengurangkan pengambilan produk terbabit. Denmark merupakan negara pertama memperkenalkan cukai lemak di dunia iaitu pada 2011 meskipun berdepan kritikan hebat, namun ia dibatalkan pada 2013.

United Kingdom turut mengharamkan makanan remeh di hospital pada 2015 bagi membanteras gejala obesiti. Mesin layan diri hanya dibenar menjual makanan dan minuman yang mengandungi paras gula rendah. – Bernama