Portugal juara Euro 2016

Portugal juara Euro 2016

PARIS, 11 Julai – Cristiano Ronaldo menangis dengan kesedihan dan kegembiraan manakala gol masa tambahan Eder pada final yang berakhir di Stade de France menyaksikan Portugal menewaskan tuan rumah Perancis 1-0 dalam perlawanan akhir Euro 2016 awal pagi ini untuk memenangi kejohanan utama pertama mereka.

Pada babak pertama, Ronaldo diusung keluar akibat kecederaan lutut yang dialami selepas diterjah Dimitri Payet pada minit kelapan.

“Ia bukan perlawanan akhir yang saya mahu, tetapi saya amat gembira,” kata Ronaldo.

“Ia merupakan sebuah trofi untuk semua warga Portugis, untuk semua pendatang, semua orang yang percaya kepada kami, jadi saya sangat gembira dan sangat bangga.”

Pemain pertahanan tengah Portugal, Pepe, dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan, berkata, “Kami berkata kami akan memenangi untuknya, dan kami berjaya melakukannya.”

Perancis menguasai awal permainan dengan Antoine Griezmann hampir membuka jaringan menerusi tandukan tepat ke gawang Portugal, tetapi penjaga gol Rui Patricio sempat menepis keluar bola.

Ronaldo (tengah) meraikan kejayaan dengan mengangkat trofi bersama rakan sepasukannya selepas memenangi perlawanan akhir Euro 2016 menentang Perancis di Stade de France, Saint-Denis, semalam. - AFP
Ronaldo (tengah) meraikan kejayaan dengan mengangkat trofi bersama rakan sepasukannya selepas memenangi perlawanan akhir Euro 2016 menentang Perancis di Stade de France, Saint-Denis, semalam. – AFP

Pemain tengah Perancis, Moussa Sissoko yang begitu berbahaya dengan larian pantas membelah benteng Portugal, hampir memecah kebuntuan pada minit ke-34, tetapi sekali lagi Patricio menjadi penyelamat.

Bersambung babak kedua, Perancis terus menguasai permainan dengan beberapa peluang keemasan dihasilkan tuan rumah, namun Patricio dan tiang gol menjadi penghalang.

Tandukan minit ke-66 Griezmann ditepis keluar Patricio yang kemudiannya menampan rembatan Olivier Giroud pada minit ke-75.

Ketika Patricio gagal menghalang sepakan leret Andre-Pierre Gignac pada minit terakhir, tiang pula menafikan peluang Perancis mendapatkan gol.

Dalam masa tambahan, Eder muncul wira Portugal apabila merembat kencang menewaskan Lloris dan Portugal mempertahankan kelebihan satu gol hingga tamat perlawanan.

Jurulatih Perancis, Didier Deschamps berharap untuk membawa negaranya menang kejohanan utama keempat dan ketiga di laman sendiri selepas Euro 1984 dan Piala Dunia 1998, apabila dia menjadi kapten.

“Kita telah memberikan peluang besar ini dengan kejayaan yang kami perolehi. Tiada perkataan untuk menggambarkan perasaan ini.” – AFP