Portugal ke separuh akhir

Portugal ke separuh akhir

MARSEILLE, 1 Julai (AFP) – Ricardo Quaresma sekali lagi muncul wira Portugal apabila berjaya menyempurnakan sepakan penalti penentuannya yang dibantu oleh kegagalan sepakan pemain Poland, Jakub Blaszykowski untuk keputusan 5-3, sekali gus mara ke separuh akhir setelah seri 1-1 sepanjang 120 minit perlawanan yang berlangsung di Stade Velodrome, awal pagi tadi.

Selepas menjadi wira ketika menjaringkan gol kemenangan pada masa tambahan menentang Croatia pada pusingan kalah mati, Quaresma sekali lagi tidak berdepan masalah meledak menerusi sepakan penentuan penalti yang menyaksikan percubaannya gagal diselamatkan penjaga gol Poland, Lukasz Fabianski.

Ini sekali gus menyaksikan Portugal mengulangi pencapaian Euro 2012 apabila mara ke separuh akhir dan bakal bertemu sama ada Wales mahupun Belgium yang akan beraksi awal pagi esok.

Pada aksi terbabit, Poland beroleh permulaan impian selepas mendahului perlawanan seawal minit kedua berpunca daripada hantaran Kamil Grosicki daripada sebelah kanan pintu gol Portugal mudah ditampan masuk Lewandowski yang tidak dikawal untuk gol pembukaan buat Poland.

Portugal seharusnya beroleh sepakan penalti pada minit ke-30 selepas Cristiano Ronaldo dilihat seakan ditolak pemain pertahanan Poland di dalam kotak penalti namun tidak dilayan oleh pengadil.

Pasukan Portugal meraikan kemenangan mereka selepas perlawanan tersebut. – AFP
Pasukan Portugal meraikan kemenangan mereka selepas perlawanan tersebut. – AFP

UEFA-Euro-2016-Logo

Bagaimanapun, bermula daripada hantaran satu dua antara Nani dan Renato Sanches, pemain muda itu akhirnya menyudahkan hantaran dengan rembatan kencang dari luar kotak penalti menewaskan Lukasz Fabianski bagi gol penyamaan Portugal pada minit ke-33.

Separuh masa kedua bersambung, corak permainan kedua-dua pasukan mulai perlahan dengan tiada percubaan berbahaya dijelmakan oleh Poland dan Portugal dalam 10 minit pertama babak kedua.

Nani yang menjadi penggerak buat Portugal melakukan hantaran cantik kepada Ronaldo yang melepasi perangkap ofsaid namun percubaannya gagal disudahkan dengan baik walaupun sekadar berdepan Fabianski pada minit ke-55.

Lima minit sebelum tamat permainan, Ronaldo sekali lagi beroleh peluang terbaik di hadapan pintu gol Poland namun dia gagal mengagak hantaran Joao Moutinho dengan tepat yang menyaksikan percubaan gagal disudahkan dengan baik dan mudah disambar Fabianski.

Gol kemenangan yang dicari masih tidak berjaya diperoleh kedua-dua pasukan dalam 30 minit masa tambahan sekali gus memaksa perlawanan diheret ke sepakan penalti penentuan.

ARTIKEL YANG SAMA