Portugal masih gah tanpa Ronaldo

Portugal masih gah tanpa Ronaldo

PORTO, 30 Mei – Portugal masih mampu meraih kemenangan 3-0 ke atas Norway dalam aksi pemanas badan menjelang Euro 2016 walaupun tanpa khidmat penjaring terbanyak, Cristiano Ronaldo.

Ronaldo tidak bersama pasukan Portugal kerana baru selesai menggalas tugas bersama Real Madrid yang menjuarai Liga Juara-Juara Eropah.

Ketiadaannya diisi Ricardo Quaresma dan Raphael Guerreiro yang meledak jaringan menarik sebelum Eder menambah gol ketiga di Stadium Dragao.

Pasukan itu memulakan perlawanan dengan formasi 4-3-3 dan percaturan berkenaan mula membuahkan hasil apabila pemain sayap berusia 32 tahun, Quaresma membuka tirai jaringan pada minit ke-13.

Aksi Quaresma ketika bersaing dengan pemain Norway Stefan Johansen (kanan) semasa perlawanan bola sepak persahabatan antara Portugal dan Norway di Stadium Dragao di Porto, Portugal, semalam. – AP
Aksi Quaresma ketika bersaing dengan pemain Norway Stefan Johansen (kanan) semasa perlawanan bola sepak persahabatan antara Portugal dan Norway di Stadium Dragao di Porto, Portugal, semalam. – AP

Jaringan kemudiannya ditambah oleh Guerreiro selepas pemain bek kiri berusia 22 tahun itu melunaskan sepakan percuma pada minit ke-65 sekali gus menewaskan penjaga gol Norway, Rune Jarstein.

Portugal terus menggandakan asakan dan penyerangnya Eder memuktamadkan keputusan 3-0, lima minit selepas itu.

Prestasi pasukan itu tampak sempurna sebelum Portugal dijadual berkunjung ke Wembley bertemu England Khamis ini untuk aksi pemanas badan terakhir sebelum Euro membuka tirainya bulan depan di Perancis.

Portugal adalah antara pilihan utama yang dijangka mudah melepasi peringkat Kumpulan F Euro 2016 yang turut disertai Austria, Hungary dan Iceland. – Agensi

ARTIKEL YANG SAMA