Portugal pesta gol

Portugal pesta gol

LISBON, 9 Jun – Cristiano Ronaldo merembat dua gol buat Portugal dalam perlawanan pemanasan badan terakhir menjelang Euro 2016 dengan kemenangan besar 7-0 ke atas Estonia di Stadium of Light, awal pagi tadi.

Penyerang bintang kelab gergasi Real Madrid itu mencipta dua gol dalam tempoh sembilan minit berselang pada babak pertama perlawanan.

“Hari ini kami menunjukkan yang pasukan bermain dengan baik pada semua tahap. Kami menjaringkan tujuh gol namun ia tidak terlalu bermakna. Kami perlu kekalkan kaki kami di atas tanah,” kata Ronaldo selepas perlawanan.

“Sukar untuk menjuarai kejohanan dan kami akan mengharunginya satu persatu perlawanan terlebih dulu.”

Ricardo Quaresma yang turut disenaraikan dalam kesebelasan utama bersama Ronaldo turut menjaringkan dua gol, meneruskan prestasi cemerlangnya ketika Portugal menewaskan Norway, minggu lalu.

Pasukan Portugal beraksi cemerlang pada perlawanan itu apabila membelasah Estonia 7-0. – AFP
Pasukan Portugal beraksi cemerlang pada perlawanan itu apabila membelasah Estonia 7-0. – AFP

Melengkapkan jumlah jaringan ialah Danilo pada minit ke-55, Eder (m80) dan gol sendiri pemain Estonia, Karol Mets pada minit ke-61.

Portugal menewaskan Norway 3-0 pada aksi memanas badan pertama menjelang Euro namun tumbang 1-0 kepada England, minggu lalu namun dua tonggaknya, Ronaldo dan Pepe tidak beraksi ketika itu.

Ronaldo sudah pun meletakkan namanya sebagai legenda di Portugal dengan muncul penjaring gol terbanyak namun masih gagal menghadiahkan negaranya trofi di kejuaraan utama.

Pada usia 31 tahun dan diundi dalam Kumpulan F yang dianggap mudah, bertemu Austria, Hungary dan Iceland, kejohanan di Paris dianggap peluang terbaik Ronaldo untuk menyinar di pentas antarabangsa.

Pasukan Portugal dikendalikan oleh Fernando Santos dan akan terbang ke Perancis sebagai pasukan terakhir hari ini dengan semangat yang tinggi.

Portugal akan membuat penampilan mereka di Euro 2016 pada Selasa depan menentang pasukan yang tidak begitu dikenali Iceland di St Etienne.

Mereka berupaya untuk mara ke pusingan separuh akhir Euro 2012, namun persembahan agak teruk pada Piala Dunia 2014, apabila gagal untuk melepasi pusingan pertama. – AFP