Portugal raih slot automatik

LISBON, 11 Okt – Cristiano Ronaldo membantu Portugal menewaskan Switzerland 2-0 di Lisbon, awal pagi tadi seterusnya meraih tiket ke Piala Dunia 2018 dan menghantar lawan mereka ke penentuan play-off, bulan depan.

Jaringan sendiri Johan Djourou memberikan juara Eropah itu kelebihan pada minit ke-41 dan Andre Silva menjaringkan gol kedua Portugal sejurus sebelum sejam perlawanan.

Portugal menamatkan saingan kelayakan selaku pendahulu Kumpulan B, di depan Switzerland berdasarkan perbezaan gol.

Switzerland, yang menewaskan Portugal 2-0 di laman sendiri tahun lalu, menang semua sembilan kelayakan sebelum ini tetapi kini perlu menempuh dua aksi timbal balas pada November ini untuk layak buat kali keempat berturut-turut ke Piala Dunia.

“Kami tidak pernah berkata kami yang terbaik di dunia, tetapi kami berupaya berdepan mana-mana lawan,” kata jurulatih Portugal, Fernando Santos.

Andre Silva meraikan gol semasa menentang Switzerland di Luz Stadium, Lisbon kelmarin. – AFP

“Selepas menjulang Euro 2016, kami kalah perlawanan kelayakan pertama. Ia memang menyakitkan. Tetapi, selepas itu kami mula bertindak balas dan bangkit di perlawanan seterusnya.

“Daripada situ, saya sentiasa rasakan kami perlu menang semua baki perlawanan, kerana saya yakin Switzerland tidak akan membuang mata sebelum ke Lisbon.”

Ronaldo yang cedera ketika kelayakan pertama di Basel, kembali ke kesebelasan utama Portugal selepas masuk selaku pemain simpanan, ketika menang 2-0 di Andorra, Sabtu lalu.

Switzerland pula cuba menyertai juara bertahan, Jerman – dan juara 2010, Sepanyol selaku pasukan yang melengkapkan kelayakan Piala Dunia Eropah dengan rekod sempurna. – AFP