Pos kawalan bersama diwujud

Pos kawalan bersama diwujud

TAWAU, 19 Ogos – Sebuah lagi pos kawalan bersama Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD) akan diwujudkan bagi memantapkan koordinasi pengawalan di kawasan sempadan kedua-dua negara dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan dan pencerobohan.

Panglima 5 Briged, Brig. Jen. Datuk Pahlawan Mohd Anuar Rijaludin berkata pos kawalan berkenaan akan diwujudkan dalam masa terdekat di sempadan negara berdekatan Tawau dan Indonesia yang kini masih dalam peringkat perbincangan.

“Kawasan sempadan perlu dikawal dengan lebih berkesan melalui kerjasama dua negara daripada elemen kegiatan jenayah khususnya dadah, penyeludupan barang dan manusia serta pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pembukaan Aktiviti Bilateral Malaysia-Indonesia (Malindo) 2016 Patroli Terkoordinasi (Patkor) di Pos TDM Serudong dekat sini hari ini. – Bernama