Pos Polis Terunjing dirasmikan

Pos Polis Terunjing dirasmikan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 Feb – Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) terus memberikan perkhidmatan terbaik dalam memastikan keselamatan, ketenteraman, keamanan negara serta kesejahteraan orang ramai sentiasa dijaga apabila Pos Polis Terunjing mula beroperasi, hari ini.

Perasmian pos berkenaan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Bahrin bin Mohd Noor. Turut hadir ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara yang juga Penghulu Mukim Berakas ‘A’, Yang Berhormat Haji A. Ahmad bin Hussain, Timbalan Pesuruhjaya Polis Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy bin Haji Muhd Shah Al-Islam, para pegawai kanan dan kakitangan PDB serta para pegawai kanan kerajaan.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin dalam temu bual selepas majlis perasmian berkata, penubuhan pos polis berkenaan adalah sebagai menyahut kehendak dan keperluan penduduk kawasan berkenaan bagi kehadiran pos polis dalam memberikan bantuan jika diperlukan.

Katanya, walaupun kejadian jenayah di kawasan itu tidak tinggi, namun dengan perkembangan semasa dan kehadiran pengguna jalan raya yang meningkat, penubuhan pos berkenaan amat tepat pada masanya bagi memenuhi keperluan orang ramai.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin menyerahkan kunci Pos Polis Terunjing kepada Penguasa Polis Husaini.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin menyerahkan kunci Pos Polis Terunjing kepada Penguasa Polis Husaini.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin, Yang Berhormat Haji A.Ahmad, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy serta para pegawai kanan Polis Diraja Brunei dan kerajaan bergambar ramai di hadapan Pos Polis Terunjing.
Dato Paduka Seri Haji Bahrin, Yang Berhormat Haji A.Ahmad, Dato Seri Pahlawan Haji Mohd Jammy serta para pegawai kanan Polis Diraja Brunei dan kerajaan bergambar ramai di hadapan Pos Polis Terunjing.

“Pasukan Polis Diraja Brunei bukan sahaja melihat keperluan dari sudut jenayah tetapi juga sudut keselamatan jalan raya,” tambah beliau.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin juga menyeru penduduk sekitar agar menggunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik-baiknya dan jangan segan untuk berkunjung ke pos polis berkenaan jika memerlukan bantuan.

Beliau menambah, dua anggota polis akan bertugas di pos berkenaan setiap masa dan jika penduduk memerlukan pertolongan, mereka boleh berkunjung terus ke pos polis itu atau menghubungi talian hotline polis, 993.

Kehadiran pos polis itu juga, jelas beliau, bakal memberikan kemudahan kepada orang ramai untuk mengurangkan tempoh respons apabila mereka memerlukan bantuan polis.

Pos polis itu juga dilengkapi sistem radio sebagai alat komunikasi dan boleh digunakan oleh ahli-ahli pengawasan kejiranan untuk berkumpul sebelum mengadakan rondaan.

Menyentuh mengenai perancangan bagi menambah jumlah pos kawalan polis, Dato Paduka Seri Haji Bahrin berkata, pihaknya sedang melihat kemungkinan untuk menubuhkan pos di kawasan Melabau memandangkan jumlah penduduknya sudah meningkat.

Sebelum ini, majlis menyaksikan Penyerahan Kunci Pos Polis Terunjing daripada Pengarah Jabatan Logistik Pasukan Polis Diraja Brunei, Penguasa Kanan Polis Pengiran Mohd Jefri bin Pengiran Haji Abdul Hamid kepada Dato Paduka Seri Haji Bahrin yang kemudian menyerahkannya kepada Pemangku Pegawai Pemerintah Daerah Polis Brunei Muara, Penguasa Polis Husaini bin Haji Matzin.

Dato Paduka Seri Haji Bahrin juga melawat serta meninjau kemudahan yang terdapat di pos polis berkenaan seperti bilik ibadah dan kawalan radio bagi menerima serta menghantar laporan semasa.

Pos polis itu merupakan pos kawalan yang meliputi kawasan Lambak ‘A’, Lambak ‘B’, Rancangan Perumahan Negara Rimba serta Skim Tanah Kurnia Rakyat Jati Lambak Kiri di mana pembinaan pos bermula sekitar 2014 dan siap pada 2016.

Pos polis itu dibina berikutan kehendak orang kampung yang dan pembinaannya dipersetujui setelah dibawa dalam pertemuan Majlis Mesyuarat Negara.

Pos itu dibina di atas tapak seluas 0.2024 hektar di Kampung Lambak ‘A’, Jalan Terunjing Baru yang menghadap ke Jalan Utama Terunjing yang ditawarkan kepada Pasukan Polis Diraja Brunei.

Pos berkenaan akan bertindak sebagai penerima dan penyalur maklumat kepada orang ramai dan sebagai pangkalan (checkpoint) kepada polis peronda, Skuad Tindakan Segera dan anggota Jabatan Siasatan dan Kawalan Lalu Lintas.

ARTIKEL YANG SAMA