Pos tambah lokasi kutipan bungkusan

Pos tambah lokasi kutipan bungkusan

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Feb – Jabatan Perkhidmatan Pos dengan kerjasama Jabatan Kastam dan Eksesais Diraja (JKED) kini sedang mengambil langkah untuk mengadakan penambahan lokasi pengutipan baru bungkusan kepada empat cawangan baru di sekitar Daerah Brunei dan Muara.

Ketua Pos Agung, Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim menjelaskan, sistem ini membolehkan penerima untuk menerima barang mereka di pejabat-pejabat pos berhampiran dengan tempat tinggal mereka, khususnya bagi barang-barang yang lulus diperiksa dan telah dilabel hijau oleh pihak JKED.

Walau bagaimanapun, barangan yang dilabel merah akan diserahkan ke Pusat Memproses Mel (MPC) untuk pemeriksaan selanjutnya.

Selain itu, beliau menambah dengan perubahan baru ini, sistem perkhidmatan ‘Push EMS’ membolehkan para penerima bungkusan EMS melalui khidmat SMS.

Pihak jabatan juga memberi kemudahan untuk orang ramai bagi memanjangkan masa pengutipan bungkusan, EMS dan paket kecil dengan mengadakan perkhidmatan waktu rehat tengah hari dan dibuka pada hari Jumaat.

“Orang ramai juga akan dipermudahkan dengan sistem terbaru bagi mengetahui barang-barang mereka sedia untuk dikutip menggunakan Web Listing.

Web Listing itu akan menyediakan senarai nama-nama penerima yang akan disenaraikan di dalam laman web setiap hari melalui laman sesawang Jabatan Perkhidmatan Pos,” Kata Haji Mohamad Manan.

Selain itu, tambahnya lagi, Jabatan Perkhidmatan Pos juga akan menubuhkan Unit Pemedulian Pelanggan untuk kemudahan orang ramai menghubungi dan membuat sebarang pertanyaan mengenai barang mereka. Kedua-dua projek ini akan bermula pada 22 Mac nanti.

Beliau menjelaskan mengenai inisiatif dan perubahan baru ini semasa sidang media di Bilik Mesyuarat, Pusat Memproses Mel (MPC), Lapangan Terbang Lama, hari ini, yang diadakan untuk menjelaskan secara terperinci mengenai punca kelambatan penerimaan paket-paket dan bungkusan di Jabatan Perkhidmatan Pos.

Haji Mohamad Manan berkata, antara aduan-aduan yang diterima oleh pihak jabatan termasuk kelambatan menerima paket kecil, kelambatan menerima kad Advice of Receipt (AR), kenapa paket kecil dan bungkusan memerlukan pemeriksaan kastam dan isu penyerahan bungkusan dan paket kecil yang ramai di Pusat Memproses Mel (MPC).

Beliau menjelaskan, lazimnya hanya bungkusan dan paket kecil yang tiba di MPC sahaja diproses oleh Jabatan Perkhidmatan Pos di mana barang-barang tersebut diasing-asingkan mengikut cawangan-cawangan tertentu dan setelah itu diproses untuk mengeluarkan Kad AR mengikut perkhidmatan Tekad Pemedulian Orang Ramai (TPOR) dihantar melalui posmen ke rumah-rumah.

Jabatan hanya akan dapat memproses sekiranya barang tersebut sampai di MPC Brunei mengikut langkah-langkah seperti mengambil di BIACC Sdn Bhd, membuka guni, mengasingkan mengikut cawangan, pemeriksaan melalui mesin X-ray Kastam, membuat Data Entry, mengeluarkan Kad AR dan menghantar AR ke rumah-rumah.

Tambahnya, daripada penelitian jabatan, kebanyakan aduan-aduan adalah tertumpu kepada kelambatan menerima paket kecil, iaitu barang yang dihantar melalui pembelian dalam talian (Shopping Online).

Kebanyakan barang-barang yang diterima dari luar negeri terutamanya barang-barang pembelian dalam talian khususnya yang menggunakan penghantaran ‘Free Shipping’ dan menggunakan perkhidmatan penghantaran ‘International Standard’ didapati memakan masa yang lama untuk sampai ke tanah air, ujarnya.

Dalam kesempatan ini, Jabatan Perkhidmatan Pos menyarankan orang ramai khususnya pelanggan-pelanggan pos supaya akan dapat memberikan kerjasama kepada jabatan tersebut dalam memastikan alamat digunakan adalah betul, mengelakkan menggunakan nama-nama samaran kerana ia akan menjejaskan proses penyerahan bungkusan dan paket kecil.

Selain itu, orang ramai yang membeli barang dalam talian supaya dapat memberikan nombor telefon yang aktif bagi membolehkan jabatan membuat makluman secara SMS seperti yang telah dibuat bagi perkhidmatan EMS.

ARTIKEL YANG SAMA