Poskad paparkan perkembangan Brunei

Poskad paparkan perkembangan Brunei

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Nov – Bagi memperlihatkan perkembangan Brunei yang ada pada masa ini dibandingkan dengan dahulu, satu siri ceramah bertajuk ‘Sejarah 100 tahun poskad-poskad Brunei’ telah diadakan di Pusat Sejarah, di ibu negara, hari ini.

Ceramah yang telah disampaikan oleh penceramah undangan iaitu Pengarah Eksekutif Pusat Pengajian Strategik dan Dasar (CSPS), Haji Mohd Rozan bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos itu merupakan salah satu aktiviti yang ada dalam Program Mendekati Sejarah dan Mengenali Arkib 2016 yang berlangsung sejak 26 November lalu hingga 30 November, yang diadakan oleh Pusat Sejarah Brunei dengan kerjasama Arkib Negara, Jabatan Muzium-Muzium Brunei.

Ceramah berkenaan telah dihadiri oleh para pegawai dan kakitangan dari Pusat Sejarah, mahasiswa-mahasiswi Universiti Brunei Darussalam (UBD), serta orang awam.

Dalam ceramahnya, Haji Mohd Rozan menyentuh mengenai sejarah penghantaran surat yang mana poskad adalah perhubungan melalui dokumen yang dibawa daripada seseorang dari satu tempat kepada seseorang di tempat lain yang telah dilaksanakan semenjak tulisan direka cipta.

Penyampaian cenderahati kepada Haji Mohd Rozan.
Penyampaian cenderahati kepada Haji Mohd Rozan.
Antara yang hadir semasa sesi ceramah berkenaan.
Antara yang hadir semasa sesi ceramah berkenaan.

Selain itu, beliau juga menyentuh mengenai ilmu Deltiologi, sejarah poskad-poskad di Brunei dengan tempoh-tempoh tertentu seperti sebelum Perang Dunia Kedua, sebelum kemerdekaan dan selepas kemerdekaan.

Ketika ditemu bual, Haji Mohd Rozan menyatakan, kepentingan poskad ini dibincangkan bagi memperlihatkan perkembangan Brunei yang ada pada masa ini dibandingkan dengan masa dahulu.

“Jika kitani dapat melihat dan meneliti gambar-gambar yang ada di dalam poskad pada ketika dahulu, kita akan nampak perbezaan dan perkembangan yang ada di Brunei, contohnya seperti bangunan lama yang pada masa sekarang sudah diubah suai dan sebagainya,” jelas beliau.

Selain itu, Haji Mohd Rozan juga menjelaskan bahawa ia juga memberikan pengajaran kepada orang ramai dengan melihat keadaan rumah, keadaan bangunan dan keadaan infrastruktur selain melihat cara kehidupan yang ada pada masa dahulu.

“Setiap gambar itu menceritakan seribu cerita,” ujar beliau di hujung temu bual.

ARTIKEL YANG SAMA