Posmen diseru tingkat prestasi penyerahan

Posmen diseru tingkat prestasi penyerahan

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Jabatan Perkhidmatan Pos, baru-baru ini, telah mengadakan sesi pertama perjumpaan antara pengurusan jabatan berkenaan dengan posmen-posmen bagi Daerah Belait yang berlangsung di Pejabat Pos Kuala Belait.

Hadir pada sesi perjumpaan berkenaan ialah Ketua Pos Agung, Haji Mohamad Manan bin Haji Lakim di samping pegawai-pegawai kanan pos dari Bahagian Pengurusan Operasi, Jabatan Perkhidmatan Pos.

Lebih 22 orang posmen termasuk merinyu di Daerah Belait telah hadir pada sesi perjumpaan berkenaan.

Jabatan Perkhidmatan Pos dalam kenyataannya berkata, beberapa perkara telah dibincangkan dalam perjumpaan berkenaan antaranya prestasi penyerahan yang perlu dipertingkatkan memandangkan sering terjadinya aduan-aduan yang dibangkitkan orang ramai di media-media massa dan juga sosial.

Dalam hal ini, menurut kenyataan itu lagi, Haji Mohamad Manan telah menekankan agar semua posmen mematuhi setiap arahan dan peraturan yang telah digariskan dalam menjalankan tugas harian masing-masing.

Sikap budaya kerja yang teratur dan integriti dalam melaksanakan tugas ditekankan dan wajar dikekalkan oleh semua posmen.

Ini, tambah beliau, secara tidak langsung akan dapat menghasilkan satu momentum terhadap mutu kerja yang lebih bernilai tinggi dan menjulang Jabatan Perkhidmatan Pos sebagai sebuah jabatan kerajaan yang bersikap dedikasi kepada keperluan orang ramai.

Selain itu, beliau juga menjelaskan beberapa tindakan pembaikan yang telah dibuat untuk memastikan usaha-usaha meningkatkan mutu prestasi penyerahan dapat berjalan lancar.

Antara tindakan yang dijelaskannya termasuk pemantauan melalui laporan pengesahan penyerahan surat ke cawangan-cawangan pos yang diserahkan setiap hari kepada pihak pengurusan Bahagian Mel Korporat dan Urus Niaga untuk penelitian.

Selain itu, lawatan pemeriksaan oleh Unit Penyerahan setiap hari ke cawangan-cawangan pos terutama cawangan yang memerlukan pemantauan lanjut, mengadakan ceramah-ceramah motivasi dan keagamaan dari semasa ke semasa sebagai memberi kesedaran kepada posmen-posmen supaya jujur dan bertawakal dalam menjalankan tugas harian serta mengadakan perbincangan antara pengurus-pengurus cawangan dan merinyu bagi memastikan segala kelemahan dapat diatasi sebaik mungkin.

Sesi perjumpaan berkenaan turut diteruskan dengan mengadakan bengkel mini untuk menilai sejauh mana posmen dapat memahami hasrat jabatan untuk meningkatkan prestasi penyerahan.

Jabatan Perkhidmatan Pos memberitahu bahawa sesi perjumpaan serupa akan diteruskan bagi daerah-daerah lain, sebagai usaha mereka untuk memastikan keperluan orang ramai dapat dijaga dengan penyerahan yang terbaik dan bermutu.

ARTIKEL YANG SAMA