Post Mortem Sukan SEA ke-28

Post Mortem Sukan SEA ke-28

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 Ogos – Di sebalik persiapan rapi dan membelanjakan lebih setengah juta ringgit, kontinjen Negara Brunei Darussalam untuk Sukan Asia Tenggara (SEA) Singapura masih gagal memperbaiki pencapaian untuk membawa pulang pingat emas, sebaliknya menduduki tempat kedua tercorot daripada 11 negara yang mengambil bahagian.

Brunei meraih satu pingat perak melalui sukan tekwando dan enam pingat gangsa, masing-masing dua pingat disumbangkan oleh acara wushu, dua lagi melalui acara sepak takraw dan masing-masing satu daripada bola jaring dan pencak silat.

Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA ke-28 Singapura yang berlangsung di Dewan Kuliah, Stadium Negara Hassanal Bolkiah juga dihadiri oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah, Timbalan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datin Paduka Hajah Adina binti Othman, para pegawai Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, para pengurus pasukan dan atlet-atlet negara.

Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan, Dato Paduka Dr Haji Affendy bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin memaklumkan perkara itu ketika menyembahkan ucapan pada Mesyuarat Post Mortem Sukan SEA ke-28 di Singapura 2015 yang lalu ke hadapan majlis Presiden Majlis Olimpik Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah, yang mempengerusikan mesyuarat.

Beliau yang mewakili Ahli Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan menegaskan, kegagalan itu memerlukan semua pihak mengenal pasti kelemahan dan isu-isu yang ada dan seterusnya mengambil langkah-langkah positif dan proaktif untuk memperbaikinya.

Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Bendahara (tengah) semasa mempengerusikan mesyuarat membentangkan Laporan Post Mortem Sukan SEA yang lalu. – Infofoto
Duli Yang Teramat Mulia Pengiran Bendahara (tengah) semasa mempengerusikan mesyuarat membentangkan Laporan Post Mortem Sukan SEA yang lalu. – Infofoto

Menurut Dato Paduka Dr Haji Affendy, negara telah membelanjakan sejumlah $574,245 untuk menghantar seramai 110 orang dalam kontinjen negara ke Sukan SEA Ke-28 itu termasuk seorang Chef de Mission, 73 atlet, 17 jurulatih, tujuh pengurus, empat pegawai teknikal, masing-masing seorang ketua urus setia, pegawai urus setia, pegawai perhubungan, doktor dan pakar psikologi sukan dan tiga jurupulih anggota/tukang urut.

Menurutnya lagi, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah memperuntukkan $105,500 bagi membiayai program latihan intensif dan sebanyak $252,774 lagi membiayai latihan pendedahan mereka di luar negara.

Antara latihan yang dijalani ialah skuad bola sepak mengadakan latihan selama dua minggu di Jepun, skuad sepak takraw mengadakan uji cuba selama 10 hari dan menyertai Kejohanan King’s Cup di Thailand dan pasukan wushu kebangsaan menjalani latihan di China selama 43 hari pada peringkat pertama dan 30 hari bagi peringkat kedua.

Di sebalik prestasi menurun atlet sukan negara di temasya itu, Dato Paduka Dr Haji Affendy menjelaskan, beberapa usaha penambahbaikan telah dilaksanakan pada November 2014 bagi meningkatkan kualiti pemilihan atlet.

Ujarnya, Jawatankuasa Tertinggi Penilaian dan Pemilihan Atlet Kebangsaan telah sepakat untuk mempunyai enam asas kriteria, iaitu lulus 85 peratus ujian kecergasan, peningkatan semasa latihan, kedatangan, potensi meraih pingat, disiplin dan bersih daripada dadah dan bahan terlarang.

Ucapan beliau disusuli dengan menyembah bentangkan Laporan Pos Mortem ke hadapan majlis Duli Pengiran Bendahara oleh Pengarah Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Mulia Haji Abdul Malik bin Haji Mohammad selaku Chef de Mission Kontinjen Sukan SEA Ke-28 Singapura.

Beliau memaklumkan, terdapat lima faktor utama yang menyumbang kepada prestasi tidak memberangsangkan atlet negara yang gagal memberikan saingan maksimum di temasya yang berlangsung pada 5 hingga 16 Jun 2015 di Singapura.

Beliau memaklumkan, para atlet terutama daripada sukan petanque, bola sepak, golf dan perahu layar gagal memberikan saingan kepada lawan disebabkan standard mereka terlalu rendah berbanding dengan atlet dari negara ASEAN lain. Manakala atlet sepak takraw pula gagal mempamerkan kesungguhan dan tidak mempunyai semangat juang semasa dalam pertandingan.

Sikap sama dipamerkan oleh atlet silat seni bela diri yang tidak bersemangat ketika bertanding, walaupun disiplin sukan itu rutin dengan permainan serta variasi pergerakan adalah biasa.

Pos mortem itu juga mendapati sebilangan atlet negara berasa gugup, takut dan kurang keyakinan diri yang mengakibatkan prestasi tidak konsisten mereka semasa bertanding.

“Ada sebahagian atlet juga berasa tertekan apabila berhadapan dengan atlet yang jauh lebih baik daripada mereka, dan perasaan itu menjadi antara punca mereka mudah mengaku kalah sebelum bertanding sekali gus menjejaskan corak permainan.

Haji Abdul Malik seterusnya mengutarakan cadangan bagi langkah pembaikan prestasi atlet dan pasukan kebangsaan.

Beliau mencadangkan bentuk fizikal atlet terutama bagi sukan bola jaring, taekwando, dan pencak silat perlu diberikan perhatian kerana ia menjadi satu kelebihan dan dapat membantu para atlet memberikan saingan yang seimbang kepada lawan.

Cadangan juga ditujukan kepada Persekutuan Pencak Silat supaya melatih dan memupuk bakat ke atas atlet-atlet muda kerana sukan itu sering menyumbangkan pingat pada penyertaan negara yang lalu.

Cadangan juga dibuat terhadap perlunya penyediaan perancangan yang teratur dan menyeluruh termasuk menyediakan strategi yang berkesan yang dapat dicapai di meja rundingan oleh semua pihak yang terlibat.

Beliau turut menyarankan persatuan-persatuan sukan di negara ini supaya mengkaji semula program prestasi tinggi masing-masing bagi mencapai matlamat negara dan peluang pendedahan atlet harus dipertingkatkan sesuai dengan peruntukan kewangan semasa.

ARTIKEL YANG SAMA