Potensi besar kerjasama Brunei-India

Potensi besar kerjasama Brunei-India

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Keperluan tenaga India yang semakin meningkat selaras dengan kepesatan pembangunannya memberikan peluang kepada Negara Brunei Darussalam untuk meningkatkan lagi eksport hidrokarbon ke negara itu, kata Naib Presiden India Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Hamid Ansari.

Katanya, ekonomi India yang pesat membangun menyediakan peluang bagi Brunei dan India untuk bergerak ke hadapan menerokai hubungan dan kerjasama lain selain daripada hubungan pembeli dan penjual produk tenaga semata-mata.

“Terdapat potensi yang besar untuk mempelbagai dan meningkatkan lagi nilai tambah rangkaian eksport hidrokarbon sedia ada,” jelas beliau ketika menyampaikan kuliah Khas bertajuk, ‘India-Brunei, Rakan Kongsi Dalam Keamanan dan Kemakmuran’ yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, Universiti Brunei Darussalam (UBD), hari ini.

Dalam hubungan ini, tegas Dr. Mohammad Hamid Ansari, India amat berminat untuk bekerjasama dengan Brunei dalam membangunkan kilang baja yang menggunakan sumber-sumber hidrokarbon yang terdapat di negara ini untuk memenuhi keperluan pertanian India.

Beliau yakin usaha itu akan menghasilkan aliran pendapatan tambahan serta menjana peluang pekerjaan yang boleh mendatangkan manfaat kepada kedua-dua negara.

Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan cendera hati kepada Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Hamid Ansari selepas beliau menyampaikan Kuliah Khas di UBD kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Suyoi menyampaikan cendera hati kepada Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Hamid Ansari selepas beliau menyampaikan Kuliah Khas di UBD kelmarin.

Perdagangan tenaga adalah bidang di mana Brunei dan India saling melengkapi yang kukuh. Pada masa ini, India mengimport minyak mentah bernilai kira-kira AS$1 bilion dari Brunei.

Walaupun India merupakan pengimport ketiga terbesar minyak Brunei, jumlah import itu hanya sebahagian kecil daripada import minyak mentah global negara itu yang berjumlah lebih AS$112.748 bilion pada 2014-2015.

Dalam kuliah khas itu juga, Dr. Mohammad Hamid berkata India sedang melaksanakan dasar pembangunan infrastruktur yang besar melalui program utama seperti ‘Make in India’ dan ‘Digital India’ yang merangkumi pembangunan 100 buah bandar pintar, menaikkan taraf sistem jalan raya dan kereta api serta projek-projek besar dalam sektor infrastrukturnya yang pesat membangun.

Sehubungan dengan itu, katanya, India amat mengalu-alukan pelaburan dari negara ini dalam sektor infrastruktur dan pembuatan India.

Menyentuh mengenai sumbangan warga India kepada pembangunan Brunei, beliau berkata pada masa ini terdapat kira-kira 10 ribu pekerja warga India termasuk doktor, jurutera, usahawan, guru dan kakitangan mahir yang menyumbang kepada ekonomi Brunei.

Pada masa yang sama, beliau juga mengalu-alukan lebih banyak pertukaran pelajar, guru dan penyelidik dari institusi pendidikan di Brunei ke India bagi meningkatkan lagi hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

India juga amat tertarik untuk mengembangkan kerjasama dengan Brunei untuk meningkatkan pelancongan bersama dengan meningkatkan kesalinghubungan serta memperkemaskan lagi keperluan visa dan dokumen perjalanan antara kedua-dua negara.

Beliau juga menyatakan bidang teknologi maklumat merupakan salah satu bidang yang pesat membangun di India dan merupakan satu bidang yang berpotensi untuk meningkatkan lagi kerjasama dua hala di mana India ingin berkongsi pengalaman dan kepakarannya dalam bidang itu bagi keperluan rakyat dan kerajaan Brunei.

Sebagai rakan dagangan, India dan Brunei mempunyai kepentingan dalam memastikan keselamatan laluan laut dan sekuriti maritim dijaga. Dalam hubungan itu, kapal-kapal tentera laut India telah mengadakan lawatan ke negara ini manakala kapal Tentera Laut Diraja Brunei pula telah mengambil bahagian dalam beberapa latihan bersama.

“Semua itu telah meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua negara dalam sektor pertahanan termasuk latihan kakitangan pertahanan dalam pelbagai bidang,” jelas Dr. Mohammad Hamid.

India juga ingin meneroka kerjasama yang lebih erat bersama negara ini dalam pelbagai bidang berkepentingan bersama seperti sekuriti kawasan pantai serta bantuan dan kesiapsiagaan bencana.

Sementara itu, ancaman keganasan juga merupakan satu cabaran yang perlu ditangani oleh negara-negara yang mencintai keamanan dan India bertekad bekerjasama dengan negara-negara yang bersependapat bagi menangani ancaman itu.

India juga ingin mengembangkan lagi kerjasamanya dengan Brunei untuk membanteras keganasan global khususnya mencegah pembiayaan keganasan menerusi perkongsian maklumat. Dr. Mohammad Hamid juga menyatakan penghargaan kepada peranan membina Brunei dalam mendalamkan lagi hubungan India bersama ASEAN.

Dengan persediaan Brunei untuk meningkatkan integrasinya dalam Komuniti ASEAN, India akan terus menyokong Brunei untuk mengambil tempatnya sebagai sebuah negara yang dihormati serta sebagai sebuah negara rakan dan sahabat yang digeruni.

Beliau juga menyatakan sudah tiba masanya bagi Brunei dan India untuk meningkatkan lagi kerjasamanya kepada satu tahap yang lebih tinggi bagi mencapai kemakmuran untuk rakyat kedua-dua negara demi keamanan dan kestabilan serantau.

Kuliah khas hari ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, ahli-ahli delegasi Naib Presiden Republik India, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan lainnya.

ARTIKEL YANG SAMA