Potensi besar Pulau Labuan

Potensi besar Pulau Labuan

LABUAN, 6 Mei (Bernama) – Labuan bakal muncul sebagai destinasi pilihan ramai pelancong China berikutan pelbagai tarikan yang ditawarkan pulau bebas cukai berkenaan.

Keyakinan itu disuarakan sekumpulan 43 ejen pelancongan China yang tiba bagi lawatan selama lima hari, sejak 2 Mei lepas.

Antara tempat menarik yang sempat dikunjungi termasuk Kampung Patau-Patau dan Taman Marin Labuan yang merangkumi Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar serta Pulau Rusukan Kecil.

Jurucakap kumpulan itu yang juga Pengurus Perkhidmatan Pengembaraan Antarabangsa China, Liu Zhigang, berkata mereka mengagumi tarikan di Labuan itu, termasuk kedudukannya sebagai pulau bebas cukai.

Kumpulan itu dibawa oleh syarikat ejen pelancongan tempatan, LMB Global Sdn Bhd yang turut memperkenalkan Labuan kepada pelancong China.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi Global LMB, Chung Wei Keong berkata kunjungan mereka juga bagi membolehkan ejen-ejen pelancongan China itu mengenali keunikan Labuan sebagai destinasi percutian.