Potensi besar sektor pertanian

Potensi besar sektor pertanian

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Perkembangan positif sektor pertanian dan agri makanan memberi petunjuk bahawa peluang pelaburan dan perniagaan masih terbuka luas bagi mereka yang ingin menerokai sektor berkenaan.

Pembangunan sektor itu dihasratkan untuk menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menjadikan eksport bukan minyak dan gas sebagai pemangkin kepada usaha mempelbagaikan ekonomi negara dengan meningkatkan lagi produktiviti usahawan pertanian dan pelaburan langsung asing.

Perkara itu dikongsi oleh Pemangku Timbalan Pengarah Jabatan Pertanian dan Agri Makanan, Hajah Khartini binti Haji Musa semasa Bengkel Memudahkan Pembangunan Perniagaan Agri di Brunei Darussalam yang berlangsung di Institut Perkhidmatan Awam, Rimba, hari ini.

Menurut beliau, visi negara adalah untuk mencapai produktiviti yang tinggi dengan pertumbuhan mapan serta mempunyai industri perniagaan agri yang berasaskan eksport.

Dengan teknologi terkini, pelbagai usaha dilaksanakan bagi mengembangkan industri perniagaan agri berasaskan eksport dengan meningkatkan penyertaan aktif pelaburan langsung asing dan usahawan tempatan dengan menumpukan kepada produk bernilai tinggi, peningkatan produktiviti serta pertumbuhan mapan pertanian dan pengeluaran agri makanan.

Hajah Khartini memberikan penerangan ringkas mengenai keadaan pertanian dan agri makanan di Brunei Darussalam.
Hajah Khartini memberikan penerangan ringkas mengenai keadaan pertanian dan agri makanan di Brunei Darussalam.

“Secara ringkas mengikut perangkaan 2015, tanah yang dimajukan bagi pertanian secara keseluruhannya ialah 7,414.60 hektar di mana 2,991.50 hektar adalah untuk penternakan dan 4,504.10 hektar lagi untuk tanaman,” kata Hajah Khartini.

Sementara itu, jumlah usahawan pertanian dan agri makanan di negara ini secara keseluruhan seramai 6,197 orang dengan 987 orang terlibat dalam sektor ternakan, 4,829 orang dalam sektor tanaman dan 381 orang dalam sektor pemprosesan agri makanan.

Manakala Profesor Peter Batt dari University of Western Australia dalam taklimatnya mengenai Pertanian di Australia Barat berkata, sektor pertanian wilayah itu menjana pendapatan kira-kira $11.6 bilion dan sebanyak $7.8 bilion bagi eksport agri makanan.

Profesor Peter Batt menyampaikan taklimat mengenai pertanian di Barat Australia.
Profesor Peter Batt menyampaikan taklimat mengenai pertanian di Barat Australia.
Antara peserta bengkel yang menghadiri majlis perasmian itu.
Antara peserta bengkel yang menghadiri majlis perasmian itu.

Menurut beliau lagi, antara faktor yang mendorong pertumbuhan sektor pertanian dan agri makanan di Barat Australia adalah jumlah pilihan produk berkualiti menjadi pilihan pengguna, keadaan cuaca yang mengizinkan, kadar eksport produk yang tinggi sehingga 80 peratus, suasana ekonomi dan politik yang stabil serta pengurusan rangkaian pengedaran dan kawalan kualiti yang baik.

Walaupun sektor pertanian dan agri makanan di Barat Australia menunjukkan pertumbuhan positif namun sektor itu, jelas Profesor Batt, perlu menghadapi pelbagai cabaran termasuk kadar produktiviti gandum yang menurun, keadaan tanah yang semakin merosot, perubahan iklim serta jumlah pekerja yang rendah dalam sektor itu di mana jumlah belia yang berkecimpung dalam sektor itu semakin berkurangan.

Semasa bengkel itu, para peserta juga berbincang mengenai perkara atau isu yang memberi kesan kepada pertumbuhan pertanian dan perniagaan agri di Brunei, meningkatkan produktiviti, menggunakan teknologi secara berkesan, mendekati pelanggan serta menambah nilai dengan lebih memahami pengguna mereka.

ARTIKEL YANG SAMA