Potensi ekonomi Pakistan-Brunei dinilai

Potensi ekonomi Pakistan-Brunei dinilai

FAISALABAD, Pakistan, 30 Mac – Potensi ekonomi Pakistan dan Brunei Darussalam akan dinilai semula khususnya untuk menjadikan sektor tekstil dari Faisalabad lebih menarik dan untung bagi pelabur Brunei.

Ini dinyatakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam ke Republik Pakistan, Tuan Yang Terutama Brigedier Jeneral (B) Dato Paduka Haji Mahmud bin Haji Saidin semasa berucap di hadapan ahli perniagaan dan penggiat industri di Kompleks Dewan Perniagaan dan Industri Faisalabad (FCCI) semalam.

Akhbar Daily Times, Pakistan edisi online memetik beliau sebagai berkata, Brunei merupakan sebuah negara kecil yang ekonominya banyak bergantung kepada minyak dan gas, namun menambah bahawa 70 peratus kawasan di Brunei merangkumi hutan manakala 30 peratus lagi digunakan untuk pertanian dan industri.

“Kawasan ini tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pemakanannya dan untuk itu, kami perlu mengimport bahan makanan dari negara-negara jiran Asia,” katanya, menambah bahawa Brunei juga mengimport beras Basmathi manakala mangga Pakistan amat popular di Brunei.

Beliau bagaimanapun menekankan kos pengangkutan yang mahal sebagai punca utama perdagangan begitu rendah antara kedua-dua buah negara.

Menurutnya lagi, objektif utama lawatannya adalah untuk meninjau peluang bagi peluasan perdagangan dua hala antara kedua-dua buah negara. “Syarikat pelaburan Pakistan-Brunei berpusat di Karachi sedang berusaha untuk mempromosikan hubungan perdagangan dua hala,” tambahnya.

Mengenai tekstil, katanya, “Kami perlu mengambil langkah untuk memastikan produk tekstil tempatan kompetitif berbanding produk serupa dari China dan Bangladesh.”

TYT Dato Paduka Haji Mahmud Saidin menekankan bahawa Brunei juga berhasrat untuk mengembangkan produktiviti tanaman berasnya tanpa perlu membajak lebih banyak sawah. Menurutnya lagi, Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (LKEB) juga sedang berusaha untuk mempelbagaikan eksportnya.

“Ia sudah pun melabur dalam hartanah dan industri perhotelan dalam pelbagai negara dan pastinya, ia akan menilai potensi Pakistan bagi meninjau lebih banyak peluang pelaburan di masa akan datang,” ujarnya.

Manakala dalam ucapan alu-aluannya, Timbalan Presiden Kanan FCCI, Syed Zia Alamdar Hussain mengatakan Koridor Ekonomi Pakistan-China (CPEC) sudah menjadikan Pakistan sebagai negara penuh peluang dan pelabur dari Brunei seharusnya mendapat manfaat daripadanya.