Potensi India tarik minat UBD

Potensi India tarik minat UBD

Oleh Sim Y. H.

Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Feb – Universiti Brunei Darussalam (UBD) secara aktif terus menerokai peluang untuk menjalinkan hubungan kerjasama dalam bidang pendidikan dengan India lebih-lebih lagi memandangkan negara itu dijangka menjadi ekonomi ketiga terbesar di dunia menjelang 2030.

Maka itu, UBD amat berminat untuk meningkatkan lagi hubungan kerjasama yang erat dengan lebih banyak institusi pendidikan tinggi India dalam pelbagai bidang termasuk penyelidikan, pendidikan serta pertukaran pelajar dan staf.

Ini dinyatakan oleh Naib Canselor UBD, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina binti Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Aziz dalam ucapan alu-aluannya pada Kuliah Khas Naib Presiden Republik India, Tuan Yang Terutama Dr. Mohammad Hamid Ansari yang berlangsung di Bilik Senat, Dewan Canselor, UBD, hari ini.

Turut hadir semasa kuliah khas itu ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Haji Suyoi bin Haji Osman, Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, ahli-ahli delegasi Naib Presiden Republik India, perwakilan-perwakilan dari negara-negara sahabat, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta jemputan lainnya.

Menyentuh mengenai kerjasama itu, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina berkata bahawa pada masa ini, UBD menawarkan Program Sarjana Pengurusan dan Dasar Awam yang merupakan program utama Institut Pengajian Dasar di mana mereka yang mengikuti program selama 18 bulan itu, akan belajar di UBD selama 12 bulan manakala akan menghabiskan semester terakhir mereka di sekolah-sekolah pengajian dasar rakan kerjasama UBD di Amerika Syarikat iaitu Universiti Georgetown, Universiti Duke, Universiti Maryland dan University of California Berkeley.

TYT Dr. Mohammad Hamid Ansari bersama Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan dan Naib Canselor UBD ketika berkunjung ke pameran UBD, semalam.
TYT Dr. Mohammad Hamid Ansari bersama Menteri Pendidikan, Timbalan Menteri Pendidikan dan Naib Canselor UBD ketika berkunjung ke pameran UBD, semalam.

Katanya, program itu bermatlamat untuk menjadi platform bagi memperkayakan lagi kepimpinan dan rangkaian persahabatan pegawai-pegawai pengurusan pertengahan serantau dari 18 buah negara Sidang Kemuncak Asia Timur termasuk India.

Dalam hubungan itu, beliau menyatakan harapan supaya warga India akan merebut peluang yang disediakan dan menyertai program berkenaan.

Mengulas mengenai hubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan India, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrina berkata, kedua buah negara menikmati hubungan persahabatan yang erat di mana hubungan istimewa itu terus dikembangkan untuk merangkumi pelbagai bidang termasuk perdagangan, kesihatan, pertahanan, pembangunan sumber manusia serta pendidikan dan penyelidikan.

Pada masa yang sama, tambah beliau, India juga telah menyumbang kepada ekonomi dan sistem pendidikan Brunei dengan menyediakan kepakaran profesional di mana kira-kira 124 orang warga India berkhidmat dengan pelbagai institusi dan sekolah di Brunei termasuk tujuh orang ahli akademik di UBD.

Menurutnya lagi, pada masa ini, enam daripada 842 orang warga India yang belajar di Brunei menuntut di UBD, di mana empat orang belajar pada peringkat sarjana dan dua lagi pada peringkat PhD.

Di samping itu, Datin Dr. Hajah Anita Binurul Zahrin menyatakan bahawa kedua-dua buah negara juga mempunyai kerjasama pendidikan di peringkat tinggi yang aktif di mana sejak 2003, Brunei telah mengambil bahagian dalam latihan di bawah Kerjasama Ekonomi dan Teknikal Indian (ITEC) yang meliputi pelbagai bidang termasuk kewangan, perakaunan, audit, alam sekitar, pengurusan dan PKS.

Pada masa yang sama, UBD juga mempunyai Memorandum Persefahaman dengan Indian Institute of Technology Delhi (IITD).

Beliau juga menyatakan bahawa UBD telah melaksanakan inisiatif kerjasama dengan International Business Machine (IBM) India di bawah Pusat UBD/IBM di mana ia merupakan sebuah pusat penyelidikan canggih yang menumpukan kepada penyelidikan model cuaca-iklim serantau, tenaga yang boleh diperbaharui serta kesan perubahan iklim kepada hutan hujan, pertanian dan banjir.

Dalam tempoh kewujudan pusat itu selama tiga tahun, pusat itu telah menerbitkan penemuannya dalam pelbagai jurnal antarabangsa dan menghasilkan sebanyak lapan aplikasi paten bersama di mana terdapat empat lagi paten dalam perancangan.

Beliau turut menerangkan bahawa hasil kerjasama di antara UBD dan IBM membuahkan hasil di mana Brunei merupakan negara pertama di dunia yang mempunyai kombinasi model sumber asli skala negara, beresolusi tinggi, berintegrasi dan pelbagai kegunaan.