Potensi jadi pusat kewangan Islam

Potensi jadi pusat kewangan Islam

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Penjenamaan Halal adalah sesuatu yang mempunyai potensi besar kerana Brunei berpotensi untuk menjadi pusat kewangan Islam serta mempunyai peluang dari segi pengurusan dan yang berkaitan dengan Islam (Islamic bonds).

Mark Garnier bercakap semasa sidang media yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British.
Mark Garnier bercakap semasa sidang media yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British.

Pandangan ini diutarakan oleh Utusan Perdagangan UK ke Negara Brunei Darussalam, Mark Garnier semasa sidang media yang berlangsung di Pejabat Suruhanjaya Tinggi British, Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB), di ibu negara, hari ini.

Mark Garnier telah dilantik sebagai Utusan Perdagangan ke Brunei oleh Perdana Menteri Britain, David Cameron pada Januari tahun ini.

Sebelum menjadi ahli parlimen, beliau telah berkhidmat selama 27 tahun sebagai pegawai bank pelaburan dan pengurus pelaburan, dan ketika itu beliau pakar dalam pasaran Asia Tenggara yang sedang membangun. oleh yang demikian beliau membawa bersama-samanya pengalaman praktikal ke tugasan barunya sebagai Utusan Perdagangan ke Brunei.

Beliau sering bercakap mengenai isu-isu seperti standard perbankan, peraturan kewangan, pendidikan kewangan di sekolah-sekolah dan juga mengenai ekonomi dan daya saing UK. Beliau juga merupakan naib pengerusi All Party China Group di mana beliau mengetuai perkhidmatan kewangan.

Ditanya mengenai peluang Brunei bagi menerokai pasaran UK dan juga antarabangsa, beliau berkata, “Apa yang saya lihat pada peringkat ini, peluang adalah lebih kepada syarikat-syarikat British untuk datang ke Brunei dan melabur di Brunei, berkemungkinan operasi perkilangan dan juga untuk membantu menyokong pusat perkhidmatan pembangunan.”

Kewangan Islam, menurut Mark Garnier, adalah menarik kerana London merupakan pasaran kewangan Islam yang kedua terbesar selepas Pakistan, sesuatu yang tidak ramai orang jangka untuk mendengarnya.

“Dengan itu, saya rasa ia memberi peluang kepada syarikat-syarikat British untuk membantu dari segi perkhidmatan kewangan Islam. Pembuatan dan mengeksport secara jelas adalah penting tetapi saya rasa kekuatan Brunei adalah bergantung kepada sektor perkhidmatan, di mana anda mempunyai nilai yang lebih tinggi, produktiviti yang lebih tinggi dan lebih tinggi dalam rantaian nilai (value chain).

“Apa yang anda perlu lakukan adalah untuk menggunakan kemahiran Brunei dan tahap pendidikan yang sangat tinggi untuk menjadi lebih tinggi dalam rantaian nilai, di sanalah tempat anda mendapat sektor perkhidmatan dan pembuatan yang lebih berteknologi tinggi,” ujar beliau.

Dari segi sumber manusia, menurut Mark Garnier, tenaga kerja perlulah berpendidikan tinggi, dan beliau berpendapat Brunei berada di hadapan dari segi komunikasi iaitu dengan mempunyai dwibahasa (bilingual) kerana Bahasa Inggeris adalah bahasa perniagaan antarabangsa yang sangat penting.

“Pada dasarnya, ada sesuatu yang Brunei perlu usahakan dari segi bagaimana ia membangun dan itulah hubungan antara pekerjaan sektor awam dan pekerjaan sektor swasta,” tambah beliau lagi.

 

ARTIKEL YANG SAMA