Potensi kerjasama China, Brunei luas

Potensi kerjasama China, Brunei luas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 April – Republik Rakyat China terus komited untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala bersama Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, kebudayaan, pendidikan, pertanian, infrastruktur dan perindustrian.

Di samping itu, Brunei dan China terus memberikan sokongan kepada isu-isu berkepentingan bersama dan terus meningkatkan hubungan ekonomi dua hala yang boleh dilihat daripada perkembangan bidang kerjasama di antara syarikat-syarikat kedua buah negara.

Di sebalik keadaan ekonomi global yang suram, pelaburan China di Brunei terus mencatatkan pertumbuhan yang positif di mana ia telah menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus pada 2015 dan kontrak bagi projek-projek di Brunei juga meningkat sebanyak kira-kira 50 kali ganda pada tempoh yangsama.

Perkembangan dan pencapaian itu dikongsi oleh Menteri Hal Ehwal Luar Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Wang Yi dalam sidang media yang berlangsung di Hotel Empire & Country Club, Jerudong, hari ini.

TYT Wang amat menghargai hubungan kerjasama dua hala yang erat di antara Brunei dan China.
TYT Wang amat menghargai hubungan kerjasama dua hala yang erat di antara Brunei dan China.

Beliau berkata lagi, perkembangan itu menunjukkan bahawa potensi bagi kerjasama ekonomi di antara kedua-dua buah negara masih terbuka luas dan pelbagai bidang perdagangan baru boleh dikembangkan.

Pada masa yang sama, hubungan persahabatan yang dinikmati oleh kedua-dua buah negara dan pertumbuhan China bukannya satu ancaman bagi negara-negara jirannya tetapi membuka peluang kepada mereka untuk sama-sama meningkatkan kerjasama dan sama-sama menikmati kemakmuran.

Mengulas mengenai perbincangan semasa mengadap kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan juga perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan II (Kedua), Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Dewa Dato Seri Setia Lim Jock Seng, beliau berkata hasil daripada perbincangan dua hala itu, pelbagai persetujuan telah dicapai dalam pelbagai bidang.

Selain itu, China menyokong usaha Brunei mempelbagaikan ekonomi negara dan akan memberikan bantuan yang diperlukan serta amat gembira dengan peranan yang dimainkan oleh Brunei di dalam rantau BIMP-EAGA dan China di mana dalam perkara itu, China bersedia untuk menubuhkan kerjasama yang baru dengan Brunei.

Dalam hubungan itu, TYT Wang berkata bahawa China amat cenderung untuk menandatangani dokumen kerjasama di antara kerajaan bersama Brunei dalam bidang kerjasama inisiatif ‘Belt and Road’ bagi China dan inisiatif Wawasan 2035 bagi Brunei.

“Kami juga bersedia untuk melaksanakan penubuhan koridor ekonomi Brunei-Guangxi di mana koridor itu boleh dilancarkan dalam masa yang terdekat supaya ia boleh memberikan manfaat kepada penduduk kedua-dua buah negara.”

Di samping itu, TYT Wang turut berkata bahawa China bersedia untuk memberikan galakan kepada perusahaan-perusahaan China untuk mengambil bahagian dalam pembangunan infrastruktur di Brunei dan juga ingin untuk meningkatkan hubungan kerjasama dua hala dalam bidang tenaga terutama industri-industri petrokimia di aliran huluan, aliran tengah dan hiliran supaya dapat membangunkan lagi kapasiti pembangunan Brunei.

Menyentuh mengenai pelancong-pelancong China ke Brunei, TYT Wang amat mengalu-alukan usaha Brunei untuk memudahkan lagi perjalanan masuk pelancong China dengan memperkenalkan ‘Visa on arrival’ di mana beliau percaya ia memberikan kesan positif kepada perkembangan hubungan dua hala kedua-dua buah negara itu sambil menggalakkan lebih ramai pelancong China untuk berkunjung dan mengalami keunikan budaya, sejarah serta kemesraan layanan masyarakat Brunei.

Semasa sidang media itu, TYT Wang turut menjawab persoalan berhubungan dengan situasi di Laut China Selatan di mana beliau mengulas China mempunyai pendirian yang serupa dengan Brunei di mana pendekatan yang terbaik untuk menyelesaikan sebarang pertelingkahan adalah menerusi meja rundingan dan kerjasama yang erat bersama rakan-rakan ASEAN supaya dapat mencapai penyelesaian secara aman dan memastikan ketenteraman serantau.

Terdahulu dalam sidang media itu, TYT Wang menyatakan perasaan amat gembira dengan pencapaian Negara Brunei Darussalam di mana Brunei terus menikmati kestabilan sosial, pertumbuhan ekonomi dan status antarabangsa yang terus meningkat.

Oleh itu, China sebagai sebuah negara sahabat dan rakan strategik Brunei amat gembira dengan kejayaan Brunei serta akan terus memberikan sokongan dan bantuan dalam pelbagai bidang bukan sahaja untuk mengeratkan lagi hubungan persahabatan kedua buah negara tetapi meningkatkan kerjasama dua hala dalam pelbagai perkara berkepentingan bersama. Pada 2016, Brunei dan China meraikan ulang tahun 25 hubungan diplomatik kedua-dua buah negara, oleh itu, adalah amat penting bagi kedua-dua buah negara untuk terus mengeratkan lagi kerjasama dan meneroka peluang-peluang kerjasama yang baru.

“Keakraban hubungan persahabatan itu adalah atas usaha serta kerja sama erat pemimpin-pemimpin dan penduduk kedua-dua buah negara di mana ia menunjukkan pencapaian yang boleh dikecap menerusi hubungan saling hormat-menghormati, kesaksamaan dan kerjasama saling menguntungkan.”

ARTIKEL YANG SAMA