Potensi kerjasama jangka panjang

Potensi kerjasama jangka panjang

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 Ogos – Menteri-menteri ASEAN bersama-sama rakan dialog China, Jepun dan Republik Korea (ROK) menyatakan bahawa terdapat potensi bagi menjana kerjasama jangka panjang di antara ASEAN dan negara-negara rakan dialog dengan meningkatkan lagi pertukaran kebudayaan menerusi kegiatan kebudayaan dan pesta kesenian bersama di bawah Bandar Kebudayaan ASEAN dan Bandar-bandar Kebudayaan Asia Timur.

Di samping itu, menteri-menteri yang bersidang juga mengambil maklum mengenai gempa bumi yang melanda Myanmar pada 24 Ogos lalu yang menyebabkan kerosakan teruk kepada tapak-tapak arkeologi di Bagan dan turut mengambil maklum bahawa Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan (AHA Centre) sedang memantau situasi berkenaan serta akan menghulurkan bantuan kepada kerajaan Myanmar jika ada permintaan daripada pihak mereka.

Menteri-menteri yang bersidang mempunyai pendapat yang sama iaitu ASEAN akan bekerjasama dengan lebih erat bersama rakan-rakan dialognya untuk merangka pendekatan untuk mengurangkan risiko bencana dan strategi kesiapsiagaan bagi mencegah dan meminimumkan kehilangan jiwa, hartanah kebudayaan serta berganding bahu dalam pemulihan tapak-tapak warisan.

Perkara berkenaan merupakan antara yang dipersetujui dalam kenyataan bersama yang dinyatakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof semasa Sidang Media bagi Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN yang bertanggungjawab bagi Kebudayaan dan Kesenian (AMCA) dengan rakan-rakan dialog (ASEAN+3) AMCA+3 yang berlangsung di Galeri Seni, Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan, hari ini.

Yang Berhormat Pehin memberikan kenyataan kepada pihak media mengenai hasil daripada mesyuarat AMCA dan AMCA+3 itu.
Yang Berhormat Pehin memberikan kenyataan kepada pihak media mengenai hasil daripada mesyuarat AMCA dan AMCA+3 itu.

Yang Berhormat Pehin berkata, pada Mesyuarat AMCA+China ke-3, menteri-menteri ASEAN menyatakan penghargaan atas usaha China dalam pelaksanaan Pelan Tindakan Kerjasama ASEAN-China dalam Kebudayaan (2014-2018) serta menyatakan hasrat untuk meneruskan kerjasama dengan China dalam bidang kebudayaan dan kesenian, industri kebudayaan, pemeliharaan warisan budaya, sistem perkhidmatan kebudayaan awam, pembangunan teknologi dan kebudayaan serta kreativiti di China termasuk Hong Kong dan Macau.

Manakala itu, semasa Mesyuarat AMCA+Jepun ke-2, menteri-menteri ASEAN menghargai usaha Jepun dalam mempromosikan kerjasama kebudayaan dalam bidang media dan seni persembahan menerusi penghantaran pakar animasi dan filem mereka serta perlindungan hak cipta.

Menteri-menteri ASEAN juga amat menghargai pelaksanaan Pelan Kerja ASEAN-Jepun bagi Kebudayaan dan Kesenian sebagai kaedah untuk memandu program-program kerjasama di antara kedua-dua pihak bagi tempoh 2015-2018.

Yang Berhormat Pehin menambah, bagi Mesyuarat AMCA+ROK ke-2, menteri-menteri ASEAN menghargai sokong teknikal Korea menerusi kegiatan rundingan, latihan dan projek perkongsian kebudayaan yang dikendalikan seperti Latihan bagi Pustakawan Kanak-Kanak ASEAN dan bengkel untuk meningkatkan status masa kini, Pereka Kraf Pakar ASEAN.

Menteri-menteri ASEAN juga menyatakan penghargaan kepada Pusat ASEAN-China, Pusat ASEAN-Jepun dan Pusat ASEAN-Korea atas peranan aktif mereka dalam mempromosikan pertukaran kebudayaan dan kesenian di antara ASEAN dan negara-negara +3 menerusi penganjuran pelbagai acara, latihan dan promosi media.

ARTIKEL YANG SAMA