Potensi menjadi produk pelancongan

Potensi menjadi produk pelancongan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Sept – Pelancongan Memerhati Burung dikenal pasti mempunyai potensi sebagai salah satu produk pelancongan yang boleh diketengahkan dari segi keunikannya dan menjadikan Brunei sebagai satu destinasi bagi pasaran sasaran yang lumayan dan mampan iaitu pasaran pemerhati burung.

Potensi pasaran pelancongan yang lumayan dan unik itu dijelaskan oleh Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Perindustrian dan Sumber-sumber Utama (KPSSU), Haji Khairuddin bin Haji Abdul Hamid semasa berucap di Majlis Perasmian Bengkel Memerhati Burung 2015 yang berlangsung di Dewan Setia Pahlawan, KPSSU, hari ini.

Beliau seterusnya berkata, Pelancongan Memerhati Burung merupakan salah satu produk kelompok pelancongan alam semula jadi yang sedang dikembangkan dan selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Brunei Darussalam 2011-2015.

Kegiatan memerhati burung, tambah beliau, merupakan kegiatan pelancongan yang khusus tetapi terbukti mempunyai banyak kesan positif kepada destinasi pelancongan itu.

Menurutnya, Industri pelancongan memerhati burung telah dikenal pasti di beberapa kawasan di dunia sebagai industri yang lumayan dan mampan di mana menurut kajian yang dikendalikan, di Amerika Syarikat, industri itu dianggarkan bernilai kira-kira AS$32 bilion pada 2012 dan juga menjana pelbagai peluang pekerjaan.

Haji Khairuddin menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.
Haji Khairuddin menyampaikan ucapan di majlis berkenaan.

Haji Khairuddin berkata dalam Acara Perlumbaan Burung Borneo 2014 yang dikendalikan di Brunei, sebanyak 125 spesies burung dapat dilihat di hutan-hutan negara yang dilindungi serta di taman-taman rekreasi negara.

Negara menerima banyak maklum balas yang positif mengenai akses yang mudah bagi mengunjungi hutan-hutan asli negara dari Bandar Seri Begawan.

Dalam hubungan itu, Haji Khairuddin menyatakan adalah penting untuk mengetengahkan bahawa KPSSU percaya pelancongan kehidupan liar di Negara Brunei Darussalam dapat memberikan manfaat yang positif kepada ekonomi negara melalui pendapatan pelancongan dan pada masa yang sama, menyokong usaha bagi pemuliharaan khazanah semula jadi negara itu.

Beliau juga menyatakan bahawa adalah amat penting bagi semua pihak yang berkepentingan memainkan peranan masing-masing dalam pemuliharaan kehidupan liar tempatan khususnya komuniti setempat yang tinggal berdekatan dengan habitat burung-burung berkenaan.

Haji Khairuddin bergambar ramai dengan jemputan khas dan para peserta bengkel selama tiga hari itu.
Haji Khairuddin bergambar ramai dengan jemputan khas dan para peserta bengkel selama tiga hari itu.

Bahagian Kehidupan Liar, jelasnya, sering menemui beberapa spesies burung terperangkap dalam jaring yang dipasang. Oleh itu adalah amat penting burung-burung yang terperangkap itu diselamatkan atau yang lebih baik lagi kegiatan menangkap burung-burung itu dikurangkan.

“Kami percaya dengan mempromosikan kegiatan memerhati burung, ia dapat membawa lebih banyak manfaat ekonomi kepada komuniti setempat daripada menjual spesies berkenaan yang boleh membawa kepada kepupusan mereka.”

Bengkel selama tiga hari bermula hari ini hingga 6 September itu, dianjurkan bersama oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dan Sunshine Borneo Tours and Travel Sdn Bhd dengan kerjasama Malaysian Nature Society (MNS)/ Birding Conservative Council (BCC) serta sukarelawan dari Brunei Birders Group dan Persatuan Jurufoto Brunei Darussalam.

Bengkel yang dikendalikan oleh Jurulatih dari MNS, Mark Ng itu, disertai oleh seramai 12 orang jurupandu pelancong tempatan dan juga pemerhati burung tempatan.