Potensi perdagangan Malaysia-India belum dimanfaatkan

Potensi perdagangan Malaysia-India belum dimanfaatkan

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Potensi besar bagi pertumbuhan perdagangan antara Malaysia dan India masih belum dimanfaatkan berikutan perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang tidak digunakan sepenuhnya dan rundingan

Perkongsian Ekonomi Komprehensif (RCEP) yang sedang berterusan, kata Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia T.S. Tirumurti. Malaysia dan India mewujudkan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif, satu bentuk FTA, pada 24 September 2010.

Tirumurti berkata penggunaan perjanjian itu masih rendah disebabkan kurang kesedaran dalam kalangan perniagaan di kedua-dua negara.

“Penggunaan FTA tidak tinggi disebabkan kurang maklumat. Jadi, menjadi usaha kerajaan untuk memberi tahu kepada mereka untuk mula menggunakannya dengan lebih meluas,” katanya kepada pemberita pada taklimat mengenai Pertemuan Kepimpinan Perniagaan ASEAN-India 2016, di sini, hari ini.

Tirumurti berkata RCEP, yang ketika ini sedang dirundingkan boleh memainkan peranan penting dalam meningkatkan perdagangan antara kedua-dua negara.

“Sebaik sahaja RCEP selesai, ia akan membawa impak besar dan ini akan menjadi komponen penting yang akan meningkatkan perdagangan,” katanya.

RCEP yang dilancarkan secara rasmi pada November 2012, adalah cadangan FTA antara sepuluh negara anggota ASEAN dan enam negara yang mana ASEAN telah mempunyai FTA sedia ada iaitu Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Jayasiri Jayasena berkata kesan perlahan FTA itu adalah disebabkan penghapusan tarif beransur-ansur selepas perjanjian itu bermula. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA