Potensi sumber ikan didapati menurun

Potensi sumber ikan didapati menurun

Oleh Normazlina M.D

 

TUTONG, 30 Ogos – Pemantauan berterusan yang dilakukan oleh Jabatan Perikanan, mendapati bahawa potensi sumber perikanan telah menurun terutama di kawasan Zon 1, iaitu kawasan antara persisiran pantai sehingga 3 batu nautika termasuk kawasan Teluk Brunei.

Menurut Ketua Divisyen Pengurusan dan Pengawasan Jabatan Perikanan, Awang Irwan bin Haji Mohd Noor, kawasan tersebut dianggap penting kerana di situlah terdapatnya kawasan pembiakan ikan dan udang.

Menurut beliau, antara faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada penurunan sumber perikanan tersebut adalah keupayaan menangkap ikan yang berlebihan di mana penggunaan bilangan alat-alat menangkap ikan telah melebihi had maksima, dan alat-alat menangkap ikan yang digunakan mempunyai mata pukat yang kecil antara 6mm hingga 25mm yang menyebabkan tertangkapnya ikan-ikan kecil dan menghalang pembesaran ikan tersebut.

“Apabila ini terjadi ditambah pula dengan eksploitasi yang berlebihan di Zon 1 dan tidak terkawal, maka berlakulah ketidakseimbangan sumber perikanan,” katanya semasa menyampaikan taklimat mengenai Pelaksanaan Penggantungan Sementara Aktiviti Menangkap Ikan di Kawasan Zon 1, yang berlangsung di Dewan Kemasyarakatan Pekan Tutong, Kampung Serambangun, pagi ini.

Awang Irwan menyampaikan taklimat beliau kelmarin.
Awang Irwan menyampaikan taklimat beliau kelmarin.

Ke arah itu, tambah beliau, Jabatan Perikanan telah mengambil langkah untuk menguatkuasakan Penggantungan Ke atas Operasi Menangkap Ikan di Zon 1 mulai 1 Januari 2008 sehingga sumber perikanan kembali pada tahap yang diharapkan atau seperti sediakala. Taklimat tersebut disampaikan semasa Jerayawara Kesedaran Awam berkaitan Keselamatan Maritim Negara Brunei Darussalam yang menyentuh mengenai penguatkuasaan Perintah Perikanan 2009.

Ia antara lain bertujuan meningkatkan kesedaran orang awam mengenai isu-isu keselamatan maritim termasuk dasar, peraturan dan undang-undang yang berkaitan seperti penomboran perahu, pelesenan alat menangkap ikan, kesalahan memasuki zon-zon keselamatan pelantar minyak dan kesalahan menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

ARTIKEL YANG SAMA