Potensi tenaga kerja aset penting dalam organisasi

Potensi tenaga kerja aset penting dalam organisasi

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 April – Pusat Perbankan, Kewangan dan Pengurusan Islam (CIBFM) sebagai sebuah institusi latihan di bawah Autoriti Monetari Brunei Darussalam (AMBD) telah menganjurkan taklimat ‘HR Retreat CIBFM’ yang berlangsung di Indera Kayangan Ballroom, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Taklimat tersebut dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Urusan AMBD, Hajah Nurliati binti Haji Mohd Idris selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif CIBFM.

Lebih 30 orang pegawai dan eksekutif daripada agensi-agensi kerajaan, institusi-institusi kewangan dan sektor swasta mengambil bahagian dalam seminar berkenaan yang mengetengahkan dua pembentang jemputan iaitu Johan Grundlingh dari Carrots Consulting Ltd dan Karen Goh selaku Practice Leader Pembangunan Kepimpinan Eksekutif di Align SMA Pte Ltd.

Taklimat bertemakan ‘Getting The Best Out of Your Employees’ itu memberi peluang kepada peserta untuk mempelajari amalan terbaik dan bertukar-tukar pandangan serta berkongsi pengalaman dalam pembangunan modal insan.

Hajah Nurliati menggariskan kepentingan penglibatan pekerja yang mana pengiktirafan itu bagi tenaga manusia adalah aset yang paling penting di dalam organisasi.
Hajah Nurliati menggariskan kepentingan penglibatan pekerja yang mana pengiktirafan itu bagi tenaga manusia adalah aset yang paling penting di dalam organisasi.
Johan Grundlingh ketika menyoal peserta mengenai kepentingan penglibatan di dalam sebuah organisasi.
Johan Grundlingh ketika menyoal peserta mengenai kepentingan penglibatan di dalam sebuah organisasi.

Ia juga bertujuan untuk membolehkan para peserta menyerlahkan potensi tenaga kerja sebagai aset penting dalam sesebuah organisasi, melalui strategi dan teknik yang berkesan.

Hajah Nurliati dalam ucapan alu-aluannya antara lain menekankan, tema yang dipilih menggariskan kepentingan penglibatan pekerja yang mana pengiktirafan itu bagi tenaga manusia adalah aset yang paling penting dalam organisasi.

“Kepentingan mereka lebih ketara di mana kita memerlukan tenaga manusia yang efektif dan efisien yang mampu bertahan dalam ujian masa,” ujarnya.

Manakala itu, Johan Grundlingh dalam taklimatnya telah mengongsikan kepentingan perjanjian seimbang antara organisasi dan pekerja menggunakan perspektif Intrinsic dan Extrinsic.

Dalam perspektif ini, organisasi perlu mereka komponen bagi pekerja iaitu dari segi faedah kewangan dan bukan kewangan untuk meningkatkan lagi motivasi mereka (pekerja) untuk terlibat dalam organisasi.

Beliau juga menyentuh mengenai cabaran-cabaran dalam pembangunan modal insan dan cara memberi manfaat kepada individu untuk menyalurkan produktiviti dan keuntungan bagi sesebuah organisasi.

Sementara itu, Karen Goh pula membincangkan mengenai bagaimana keseimbangan faedah itu boleh dicapai.

Menurutnya faedah atau anugerah kepada pekerja itu sangat penting dalam sebuah organisasi, ia bukan sahaja memberi kemapanan kepada pekerja bahkan rasa ingin membangun bersama dengan organisasi tersebut, dan apa yang lebih penting adalah, jika seseorang individu itu mempunyai semangat, autonomi, kebebasan dan rasa pemilikan dalam organisasi akan membawa mereka lebih komited dan ingin maju ke hadapan.

Sebagai pusat kecemerlangan terkemuka di Negara Brunei Darussalam, CIBFM ditubuhkan pada tahun 2010 untuk menggalakkan pembangunan dan pengukuhan pengetahuan serta kemahiran dalam bidang perbankan, kewangan dan pengurusan industri kewangan.

CIBFM telah diiktiraf oleh Majlis Kebangsaan Pengiktirafan Kelulusan (MKPK) Negara Brunei Darussalam sebagai institusi latihan dalam bidang perbankan, kewangan dan pengurusan, sekali gus mengiktiraf program-program latihan yang dikendalikan oleh CIBFM sebagai kelayakan nilai tambah.

ARTIKEL YANG SAMA