Pound, euro, saham terus jatuh

Pound, euro, saham terus jatuh

LONDON, 27 Jun (Agensi) – Pound jatuh lebih dua peratus, euro juga terjejas dan saham jatuh lagi hari ini kerana undi Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) mendorong pelabur mencari aset lindung nilai seperti yen, emas dan hutang kerajaan berisiko rendah.

Harga minyak menghampiri paras rendah yang dicatatkan pada Jumaat, tetapi naik semula kerana peniaga berpandangan keputusan referendum Britain itu mempunyai kesan kecil terhadap permintaan global.

Sentimen kekal lemah, dengan krisis politik mencengkam Britain dan tidak ada kejelasan mengenai bila ekonomi kelima terbesar dunia akan meninggalkan EU atau dengan terma apa.

Pound pulih sedikit daripada kejatuhan teruknya selepas menteri Kewangan British, George Osborne, berkata kerajaan mempunyai pelan di luar jangka yang kukuh dan dengan itu, Bank of England mempunyai ruang yang lebih untuk bertindak jika diperlukan.

Mata wang itu didagangkan pada paras AS$1.3455, jatuh 1.8 peratus. Ia jatuh serendah AS$1.3356 di dagangan Asia dan kepada paras AS$1.3228 pada Jumaat, paras rendahnya dalam tempoh 31 tahun.

Ia juga jatuh 1.2 peratus kepada 82.28 pence berbanding euro dan 1.7 peratus kepada 137.10 yen.

Indeks saham Britain, FTSE 100, yang jatuh 3.2 peratus pada Jumaat lalu, menyusut 0.8 peratus hari ini.

Indeks saham Eropah FTSEurofirst 300, yang jatuh tujuh peratus pada Jumaat, kejatuhan terbesarnya dalam tempoh hampir lapan tahun, jatuh 1.1 peratus hari ini.

Indeks Jerman, DAX jatuh hanya 0.5 peratus dan Indeks Sepanyol IBEX naik 1.8 peratus.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun jatuh 0.1 peratus. Syarikat dengan pendedahan khususnya di United Kingdom (UK) berdepan tekanan.

Saham kewangan memacu kejatuhan di Australia dan Hong Kong.

Indeks Nikkei 225 ditutup 2.4 peratus lebih tinggi kepada 15,309.21 dan Indeks Komposit Shanghai meningkat 1.5 peratus kepada 2,895.70 dan Indeks Hang Seng jatuh 0.2 peratus kepada 20,227.30.

ARTIKEL YANG SAMA