Powell, Simpson selesai kes di luar mahkamah

Powell, Simpson selesai kes di luar mahkamah

KINGSTON, 9 Sept – Pelari pecut Jamaica Asafa Powell dan Sherone Simpson sudah menyelesaikan kes perundangan dengan syarikat pemakanan yang menjual suplemen Epiphany D1 mengandungi bahan terlarang oxilofrine, menurut syarikat pengurusan mereka semalam.

Dua tahun selepas diuji positif dengan ubat perangsang berkenaan, Powell dan Simpson mencapai penyelesaian di luar mahkamah dengan Dynamic Life Nutrition LLC, menurut kenyataan media.

Bagaimanapun maklumat lanjut mengenai penyelesaian itu tidak dikeluarkan. Usaha untuk menghubungi syarikat pengeluar suplemen berkenaan menemui kegagalan.

Kedua-dua atlet Jamaica tersebut diuji positif dengan oxilofrine pada Jun 2013 dan dikenakan pengharaman selama 18 bulan yang kemudiannya dikurangkan kepada enam bulan berikutan rayuan yang dikemukakan di Mahkamah Penimbangtaraan Sukan (CAS).

Powell dan Simpson, kedua-duanya juara lari berganti-ganti Olimpik, menyaman syarikat itu dengan nilai AS$8 juta selepas ujian makmal bebas mendedahkan bahawa terdapat “ramuan di dalam produk (Epiphany D1) yang tidak disenaraikan dalam labelnya.”

Meskipun penyelesaian itu, Powell, 32, masih kekal kecewa dengan apa yang menurutnya sudah memusnahkan reputasinya akibat ujian positif yang terdahulu. – Reuters

Gambar kombo menunjukkan Asafa Powell (kiri) dan Sherone Simpson. – Reuters
Gambar kombo menunjukkan Asafa Powell (kiri) dan Sherone Simpson. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA