PPB akui bawa penyakit taun ke Haiti

PPB akui bawa penyakit taun ke Haiti

NEW YORK, 19 Ogos – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) buat kali pertama mengaku terbabit membawa penyakit taun ke Haiti dan perlu melakukan ‘lebih banyak’ usaha menamatkan penderitaan lebih 770,000 penduduk yang dijangkiti.

Penyelidik berkata, ada bukti kukuh kuman taun masuk ke dalam sungai terbesar Haiti pada Oktober 2010 menerusi kumbahan tidak dirawat daripada pangkalan tentera pengaman badan dunia itu.

PBB tidak mengaku bertanggungjawab dan menjawab saman bagi pihak mangsa di mahkamah Amerika Syarikat dengan menyatakan ia mempunyai kekebalan diplomatic.

Kenyataan timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq, merujuk kepada pembabitan badan dunia itu, yang dihantar kepada The Associated Press pada Khamis, dilihat hampir untuk mengaku bertanggungjawab dan disambut baik peguam mangsa.

“Ini adalah kejayaan besar kepada ribuan rakyat Haiti yang berarak untuk mendapatkan keadilan, menulis surat kepada PBB dan membawa badan dunia itu ke mahkamah,” kata peguam hak asasi manusia, Mario Joseph.

Gambar fail 10 Disember 2014 menunjukkan pesakit taun sedang dirawat di Pusat Rawatan Taun di Port-au-Prince, Haiti. PBB buat kali pertama mengaku terbabit membawa penyakit taun ke negara itu menyebabkan lebih 770,000 penduduknya terjejas. – AFP
Gambar fail 10 Disember 2014 menunjukkan pesakit taun sedang dirawat di Pusat Rawatan Taun di Port-au-Prince, Haiti. PBB buat kali pertama mengaku terbabit membawa penyakit taun ke negara itu menyebabkan lebih 770,000 penduduknya terjejas. – AFP

Firma guamannya mengetuai tuntutan berprofil tinggi bagi pihak 5,000 mangsa taun yang menyalahkan PBB kerana membawa masuk penyakit itu.

“Ini adalah masa bagi PBB membetulkan keadaan dan membuktikan kepada dunia bahawa ungkapan ‘hak asasi manusia untuk semua’ bermakna kepada rakyat Haiti juga,” katanya kepada pemberita kelmarin.

Haq berkata dalam kenyataan PBB mempertimbangkan beberapa pilihan dan set baru tindakannya akan dibentangkan kepada umum dalam masa dua bulan lagi.

Beliau memberitahu wartawan bahawa panel dilantik PBB sudah meneliti pembabitannya dan mendapati kontraktor tempatan gagal membersihkan kumbahan dengan baik di pangkalan PBB. – AP

ARTIKEL YANG SAMA