PPB bakal laksana Kursus FTTH

PPB bakal laksana Kursus FTTH

Oleh Imelda Farrah Zohre HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Mei – Dalam usaha untuk menambah dan mempelbagaikan lagi kursus-kursus yang ditawarkan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB), dua kursus baru akan dilaksanakan dalam sedikit masa lagi, iaitu Kursus Penyambungan Kabel dan Kursus Fiber To The Home (FTTH).

Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Pekerma Laila Diraja Dato Seri Setia Haji Hazair bin Haji Abdullah berkata kedua-dua kursus ini dilihat dan dinilai mempunyai potensi permintaan yang dapat memberikan peluang pekerjaan baik kepada belia-belia lepasan sekolah.

Yang Berhormat Pehin menyatakan perkara ini semasa menyampaikan ucapan di Majlis Penyampaian Sijil Program Pembangunan Belia dan Program Jangka Pendek PPB Sesi 2013-2014 yang berlangsung di Dewan Binadiri, PPB, di ibu negara, hari ini.

Menyentuh mengenai kursus-kursus yang ditawarkan oleh PPB, Yang Berhormat Pehin berkata pada masa ini pusat berkenaan telah melaksanakan Kursus AutoCAD khusus bagi para belia di Daerah Belait dan Tutong.

PPB Cawangan Daerah Belait juga akan menawarkan Kursus Kek & Pastri yang dilihat mempunyai permintaan tinggi dalam pasaran pekerjaan di daerah berkenaan.

Yang Berhormat Pehin Haji Hazair ketika menyampaikan ucapan di majlis penyampaian sijil berkenaan, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin Haji Hazair ketika menyampaikan ucapan di majlis penyampaian sijil berkenaan, kelmarin.

Manakala itu, tambah Yang Berhormat Pehin, Kursus Belia Berpadi yang telah mula dilaksanakan mulai Januari 2015 diharap akan melahirkan peladang-peladang muda dari kalangan belia dalam penanaman padi di negara ini.

Menurut beliau, program ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan di luar jangkaan yang mana seramai 14 belia terdiri daripada empat wanita dan 10 lelaki telah menerima cabaran sanggup turun ke sawah dan bekerja di bawah panas terik dan hujan.

“Mereka merupakan sebagai role-model belia yang cekal dan gigih serta mempunyai wawasan yang seharusnya menjadi contoh ikutan belia yang lain,” tekannya.

Yang Berhormat Pehin seterusnya berkata, Kursus Scaffolding dan Kursus Pemandu Jentera Berat yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2012 akan terus dilaksanakan memandangkan permohonan yang begitu menggalakkan daripada para belia di negara ini.

“Jumlah kuota bagi pelaksanaan sesi keempat kedua-dua kursus berkenaan pada awal bulan Januari 2015 dipertingkatkan demi memberikan peluang kepada lebih ramai belia untuk mengikuti kursus-kursus berkenaan. Insya-Allah, sesi kelima kedua-dua kursus berkenaan akan dilaksanakan mulai bulan Ogos 2015 ini,” tambah beliau.

Mengulas mengenai majlis penyampaian sijil berkenaan, Yang Berhormat Pehin menasihatkan para pelatih yang telah menamatkan kursus di PPB akan keluar dengan berbekalkan azam dan semangat yang tinggi untuk meraih kejayaan dalam kehidupan bukan sahaja untuk diri sendiri malah untuk kebanggaan keluarga serta bagi menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

Katanya, para pelatih yang telah berjaya perlu mempergunakan segala kemahiran dan pengetahuan mereka sebagai modal yang berharga untuk mencari pekerjaan, memulakan perusahaan atau pun untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lanjutan dan tinggi.

Apa pun kerjaya dan laluan yang dipilih, ia perlu dilaksanakan dengan memberikan yang terbaik, komitmen dan disiplin yang tinggi, berintegriti, kreatif dan inovatif.

Para lepasan pelatih PPB, tekannya lagi, perlu mengambil setiap peluang yang ada di hadapan mereka dan menjadikannya sebagai platform untuk mendapatkan peluang-peluang yang lebih baik dan meningkatkan kerjaya dan kehidupan.

“Yang juga penting dalam menghadapi cabaran hidup dan mengejar cita-cita para pelatih perlu berpegang kepada prinsip ‘Tidak bulat datang bergolek dan tidak leper datang melayang’.”

Di samping itu, Yang Berhormat Pehin juga menasihatkan para pelatih supaya tidak merasa segan dan malu untuk mendapatkan nasihat dan pertolongan untuk membangun diri dan potensi yang ada dalam diri mereka.

“Meminta bantuan dan pertolongan nasihat bukanlah merupakan satu kelemahan dan rendah diri kepada golongan belia. Seperti kata pepatah Melayu ‘Malu bertanya, sesat jalan’.”

ARTIKEL YANG SAMA