PPB, TelBru meterai MoU

PPB, TelBru meterai MoU

Oleh Siti Nur Wasimah S.

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Jun – Pusat Pembangunan Belia (PPB) dan Telekom Brunei Berhad (TelBru), hari ini, telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi Skim Latihan Perantisan, Kursus Fiber To The Home (FTTH).

Hadir menyaksikan penandatanganan MoU berkenaan yang berlangsung di Pusat Ekuestrian, Royal Brunei & Polo Riding Club, Jerudong, ialah Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Haji Amer Hamzah bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria.

Menandatangani bagi pihak PPB ialah Pemangku Pengarah Pembangunan Belia dan Sukan, KKBS, Haji Rosmadee bin Haji Mohd Daud dan TelBru diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, David Kay.

Dalam ucapannya pada majlis itu, David Kay menyatakan bahawa kursus latihan ini adalah amat sesuai dan tepat pada masanya bagi penggunaan gentian yang berterusan di seluruh negara pada tahun-tahun akan datang.

Haji Rosmadee dan David Kay bergambar ramai bersama belia-belia yang terpilih mengikuti kursus tersebut.
Haji Rosmadee dan David Kay bergambar ramai bersama belia-belia yang terpilih mengikuti kursus tersebut.

 

“Setakat ini kami telah menyambung lebih daripada 37,000 buah rumah dan perniagaan dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi dan kami berhasrat untuk menyambung 45,000 lagi pada suku pertama tahun depan. Bilangan ini akan meningkat pada masa akan datang dan kita perlu lebih ramai orang untuk melakukan kerja-kerja pemasangan.”

Beliau melahirkan harapan, dengan MoU yang ditandatangani itu, PPB dan TelBru akan dapat bekerjasama dalam melaksanakan kursus yang bersesuaian bagi memenuhi keperluan industri tersebut.

Manakala itu, Haji Rosmadee dalam ucapannya pula menyatakan bahawa perjanjian persefahaman ini merupakan salah satu inisiatif dan usaha yang menggambarkan kesepaduan kedua-dua belah pihak dalam membantu para belia di negara ini.

Menurutnya, kerjasama itu selaras dengan konsep ‘3P’ iaitu ‘Public, Private and Partnership’.

“Saya berharap kerjasama ini akan sentiasa berterusan dan mendatangkan keuntungan bukan sahaja kepada PPB dan TelBru, tetapi turut menguntungkan pelbagai pihak dalam sama-sama berusaha meningkatkan kemajuan dan pertumbuhan ekonomi negara.”

Kursus FTTH telah dilaksanakan di PPB sebagai projek pilot, khusus untuk memberikan pengetahuan dan latihan kemahiran yang berkaitan dengan Fiber To The Home

(FTTH) kepada para belia di negara ini.

Ia telah pun diadakan selamat tiga bulan, bermula Oktober 2015 dan berakhir Januari 2016 lalu dengan seramai 16 orang belia telah terpilih bagi mengikuti kursus tersebut.