PPB terima kemasukan 100 pelatih

PPB terima kemasukan 100 pelatih

Oleh Pg Fairol RMF

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Ogos – Seramai 100 orang telah dipilih mengikuti sembilan kursus yang ditawarkan di Pusat Pembangunan Belia (PPB) bagi kemasukan Sesi Julai 2016.

Sehubungan itu, majlis pendaftaran bagi para pelatih baru berkenaan telah diadakan di Dewan Bina Diri, Pusat Pembangunan Belia (PPB), Kampung Tanah Jambu pagi tadi, dan hadir pada majlis itu ialah Pemangku Penolong Pengarah Pusat Pembangunan Belia, Awang Saiful Rizal bin Haji Ariffin.

Majlis juga diselajurkan dengan taklimat peraturan PPB yang disampaikan oleh Pegawai Kesejahteraan, Haji Anuar bin Haji Ahmad.

Daripada jumlah pelajar berkenaan, seramai 24 orang dipilih mengikuti Kursus Sijil Kemahiran Asas IT dalam Sistem Aplikasi Pejabat, 10 orang mengikuti Kursus Peringkat 2 dalam Reka Bentuk Bantuan Komputer 2D, 13 mengikuti Kursus Sijil Kemahiran Asas Penyediaan Makanan dan 19 mengambil Sijil Kemahiran Asas Perkhidmatan Makanan dan Minuman.

Manakala itu, sembilan orang berjaya dipilih untuk mengikuti Kursus Sijil Kemahiran Asas Fabrikasi, Kimpalan dan Paip, tujuh mengikuti Kursus Sijil Kemahiran Asas Pemasangan Paip, lima mengambil Kursus Sijil Kemahiran Asas Penyejukan dan Penyaman Udara, lapan dalam Kursus Asas Kemahiran Baik Pulih Badan Kenderaan dan lima lagi dalam Kursus Asas Kemahiran Terapi Kecantikan.

Awang Saiful Rizal ketika memberikan taklimat ringkas kepada para pelatih yang berjaya mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh PPB.
Awang Saiful Rizal ketika memberikan taklimat ringkas kepada para pelatih yang berjaya mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan oleh PPB.

Sepanjang pengajian mereka selama setahun di PPB, para pelatih berkenaan akan menjalani tiga komponen penting iaitu Program Latihan Kemahiran, Program Pembangunan Diri dan Program Penempatan Kerja.

Awang Saiful Rizal menjelaskan, Program Latihan Kemahiran merupakan 10 kursus yang ditawarkan oleh PPB, manakala itu, Program Pembangunan Diri adalah program yang diajarkan kepada para pelatih mengenai perkara-perkara berkaitan dengan semi akademik seperti asas komputer, pendidikan Islam, Bahasa Inggeris, Matematik, asas perakaunan dan asas keusahawanan.

Kalangan para pelatih PPB baru yang hadir pada majlis pendaftaran tersebut.
Kalangan para pelatih PPB baru yang hadir pada majlis pendaftaran tersebut.

Tambahnya lagi, selain mendisiplinkan diri dan pengurusan masa, para pelatih juga akan menjalani pembelajaran seperti kesempurnaan dalam melaksanakan sembahyang lima waktu, menghafaz Al-Quran, membaca ayat-ayat suci Al-Quran, zikir, nasyid, ceramah-ceramah agama, sembahyang Tarawih dan bertadarus serta Qiamulail semasa bulan Ramadan.

“Antara lain tujuan penerapan program tersebut adalah untuk memberikan pengajaran dan penekanan terhadap pengetahuan agama Islam dalam kalangan belia di pusat tersebut kerana melalui pengetahuan ugama Islam itu secara tidak langsung akan membentuk peribadi serta sahsiah yang positif dalam kalangan belia selain menerapkan aktiviti keagamaan,” ujarnya.

Menjelaskan mengenai Program Penempatan Kerja, beliau berkata, ia merupakan program yang bertujuan untuk memberikan peluang kepada para belia untuk mengaplikasikan apa yang telah dipelajari dan diperolehi semasa berada di PPB, dan untuk membolehkan pelatih menimba kemahiran serta pengalaman dalam suasana pekerjaan sebenar. Menurut beliau lagi, ia dilaksanakan sama ada di sektor kerajaan ataupun swasta.

ARTIKEL YANG SAMA