PPM dan PGA Sabah terima empat bot ronda

PPM dan PGA Sabah terima empat bot ronda

SANDAKAN, 13 Nov (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Am (PGA) masing-masing menerima dua bot ronda RHFB yang bernilai RM885,000 setiap satu, di sini hari ini.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Mohammad Fuad Abu Zarim berkata penyerahan empat bot berkenaan membuktikan keperihatinan kerajaan pusat dalam melengkapkan logistik Polis Diraja Malaysia, seiring dengan keperluan semasa. “Berikutan peningkatan kegiatan ekonomi, jumlah penduduk dan pengunjung ke Sabah, adalah wajar penambahan dan pemodenan bot ronda bagi membolehkan polis memberi perkhidmatan yang cekap, cepat dan berkesan kepada masyarakat di kawasan maritim.

“Pembinaan pangkalan baharu dan perolehan bot ronda yang lebih canggih perlu dilaksanakan dari semasa ke semasa untuk memperkukuh perancangan dan keberkesanan operasi.

“Oleh itu semua perancangan dan strategi, sama ada dalam bidang latihan, infrastruktur, aset atau sokongan logistik adalah wajar sekiranya selari dengan peredaran zaman,” katanya pada majlis penyerahan bot ronda itu di sini hari ini.

Hadir sama Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) Datuk Abd Rashid Harun.

Mohammad Fuad juga meminta semua warga PPM dan PGA di negeri itu memberi lebih perhatian kepada keperluan masyarakat setempat bagi mengekalkan ketenteraman awam dan memerangi jenayah di perairan Sabah.