PPM KK rampas rokok, mercun bernilai RM1.3 juta

PPM KK rampas rokok, mercun bernilai RM1.3 juta

KOTA KINABALU, 23 Jun (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Kota Kinabalu merampas 22,790 bungkus rokok pelbagai jenama dan 18,650 batang mercun bernilai lebih RM1.3 juta semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Madun berkata seorang lelaki berusia 20-an dipercayai warga Filipina tanpa sebarang dokumen pengenalan diri ditahan bersama barangan tersebut kira-kira pukul 1 pagi di Kampung Pirasan, Kota Belud, kira-kira 75km dari sini.

Turut dirampas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

“Siasatan awal mendapati rokok dan mercun ini telah dibawa masuk melalui Pulau Mangsi, Filipina dan diletakkan sementara di sebuah rumah sebelum diagihkan untuk pasaran sekitar Kota Marudu, Kudat dan Ranau.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk nilai rokok, duti import, duti eksais, cukai jualan rokok dan mercun serta rampasan kenderaan berjumlah RM1,363,644,” katanya pada sidang akhbar mengenai perkara itu di sini, hari ini.

Mohamad berkata polis mengalu-alukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di perairan Sabah.