PPM rampas 4,000 paket tembakau bernilai lebih RM8,000 di Tawau

PPM rampas 4,000 paket tembakau bernilai lebih RM8,000 di Tawau

TAWAU, 29 Sept (Bernama) – Pasukan Polis Marin (PPM) Tawau berjaya mematahkan cubaan menyeludup 4,000 paket tembakau bernilai RM8,800 ke daerah berkenaan di kawasan perairan Tanjung Batu, Isnin malam.

Komander PPM Wilayah Sabah, ACP Mohamad Madun berkata tembakau dalam paket cap ‘Tiga Salak’ itu dirampas daripada sebuah bot yang tahan dan diperiksa dalam ‘Op Paradise’ kira-kira 8.15 malam.

“Sepasukan anggota PPM yang sedang menjalankan tugas Op Paradise terserempak dengan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan mendapati seorang juragan warga tempatan berada di dalam bot serta menjumpai bungkusan tembakau diisi dalam sebuah beg plastik berwarna biru,” katanya dalam kenyataan di sini Selasa.

Selain merampas bot beserta injin, Mohamad berkata juragan bot berusia 25 tahun itu turut ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 135 (1)(d) 1967.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya komited untuk terus melakukan penguatkuasaan dalam usaha membanteras sebarang kegiatan penyeludupan dan jenayah lain di kawasan perairan Sabah.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama masyarakat dan agensi terbabit agar menyalurkan maklumat untuk membantu PPM membanteras sebarang kegiatan menyalahi undang-undang.